Berita

Harga Tiket Suku Akhir Piala Dunia Turun Lebih 50%? Selepas Ketiadaan Amerika Syarikat & Cristiano Ronaldo

Share

Harga tiket aksi suku akhir Piala Dunia di Los Angeles dilaporkan turuh lebih separuh berbanding harga asal di pasaran jualan semula selepas Amerika Syarikat dan Portugal tersingkir pada Isnin lalu.

Perjalanan Amerika Syarikat berakhir selepas dibelasah Belgium 4-1 pada pusingan 16 terbaik, sekali gus memadam impian tuan rumah untuk beraksi tempat sendiri.

Pada hari sama, Sepanyol pula menewaskan Portugal 1-0, sekali gus menamatkan karier Piala Dunia legenda bola sepak, Cristiano Ronaldo.

Memetik laporan Forbes, penurunan tersebut merupakan perkembangan terbaharu membabitkan harga tiket kejohanan menjelang perlawanan akhir yang dijadual berlangsung pada hujung bulan ini.

Harga Final Kekal Tinggi

Sementara itu, menurut platform jualan semula tiket TickPick, harga tiket paling murah (get-in price) bagi perlawanan suku akhir antara Sepanyol dan Belgium pada Jumaat ini merosot daripada AS$2,950 (kira-kira RM12,500) kepada sekitar AS$1,200 (kira-kira RM5,100) dalam tempoh kurang 24 jam.

Ketiadaan Amerika Syarikat dan Cristiano Ronaldo didakwa mengurangkan daya tarikan kehadiran bintang besar bagi aksi suku akhir di Los Angeles.

Ramai pemerhati percaya harga tiket pasti jauh lebih tinggi sekiranya perlawanan tersebut menemukan Amerika Syarikat dan Portugal.

Sementara itu, pertemuan di antara Perancis dan Maghribi di Foxborough, Massachusetts kini menjadi aksi suku akhir paling murah di pasaran jualan semula, dengan harga tiket bermula sekitar AS$989.

Walaupun harga tiket suku akhir menunjukkan trend penurunan, situasi berbeza dapat dilihat bagi aksi final di New Jersey pada 19 Julai apabila harga tiket paling murah masih mencecah AS$9,346 (kira-kira RM39,700).

Nilai itu dijangka berubah bergantung pada pasukan yang berjaya melangkah ke pentas final.

Piala Dunia 2026 sebelum ini dianggap sebagai edisi paling mahal dalam sejarah, dengan harga tiket pada awal kejohanan dilaporkan mencecah sehingga tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding beberapa edisi terdahulu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber: Forbes

Published by
Aizam Manaf