Harga Barang Dijangka Naik 60 Peratus, Mila Jirin Akui Terkesan – “Banyak Pemborong Bahan Asas Ambil Kesempatan.”

Share

Perkhabaran mengenai harga barangan mungkin meningkat sehingga 60 peratus pada bulan depan pastinya meresahkan semua pengguna.

Perkara ini turut sama dirasai usahawan selebriti, Mila Jirin yang memohon pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk meneliti dan bertindak menangani isu berkenaan.

Mila yang mengusahkan perniagaan katering menerusi perkongsiannya di Instagram berkata ada di kalangan pemborong yang sudah mula mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.

    

“Banyak pemborong bahan asas ambil kesempatan di atas isu Gaji Minima yang dinaikkan 25 peratus.

“Mohon bantuan daripada pihak kerajaan meneliti dan bertindak bagi isu “Kenaikan Harga Barang Asas” @kpdnhep.

“Bahan asas dijangka naik hingga 60 peratus adalah tidak seimbang.

“Saya juga majikan, dalam satu syarikat bukan keseluruhan pekerja bergaji RM1,200, kurang daripada 5 peratus bergaji RM1,200,” tulisnya.

Menurut Mila, jika dibiarkan pemborong berterusan mengambil kesempatan, selaku pengusaha makanan, Mila berasa berat hati terpaksa menaikkan harga jualan disebabkan isu semasa yang sedang berlaku pada ketika ini.

“Saya kira jika ini tidak dibendung, pihak-pihak pemborong mula naikkan harga barang asas dan kesemua peniaga yang terlibat dalam industri makanan juga dengan berat hati perlu naikkan harga jualan dan ini sudah pasti akan memberi kesan kepada perkembangan perniagaan yang baru mula kencang selepas penutupan (akibat PKP).

“Dan kesan akan terpalit kepada pembeli… Apa guna GAJI MINIMA DINAIKKAN 25 PERATUS DAN KOS KEHIDUPAN NAIK MENCANAK-CANAK?” tulis Mila lagi.

Sekadar informasi, Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin, 35, mula menceburi bidang seni selepas memenangi program Akademi Fantasia musim kelima pada 2007.

Beberapa tahun selepas itu, ibu kepada seorang cahaya mata ini mula memperlahankan karier nyanyian selepas menceburkan diri dalam bidang perniagaan katering dan pengurusan majlis perkahwinan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini. 

Foto:  Instagram Mila Jirin

IKLAN