Categories: Berita Hiburan

Haqiem Rusli Akui Isteri ‘Buang’ & Ubah Sikap Toksik, Banyak Bantu Cara Berfikir – “Bukan Saya Nak cakap Sudah Matang 100%, Cuma…”

Share

Penyanyi Haqiem Rusli mengakui kehidupannya berubah ke arah yang lebih positif selepas mendirikan rumah tangga apabila isterinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri.

Menurut Haqiem, 28, Anis menjadi antara insan paling banyak membimbing dirinya untuk menjadi lebih matang, terutama dalam aspek komunikasi, cara berfikir dan membuat pertimbangan.

Jelasnya lagi, status sebagai bergelar suami bukan sahaja mengajarnya menjadi individu yang lebih tenang, malah membentuk dirinya menjadi insan yang lebih baik dalam setiap sudut kehidupan.

Isteri Bentuk Cara Berfikir & Berkomunikasi

“Bukanlah saya nak cakap yang diri ini sudah matang 100 peratus, cuma alam perkahwinan memang banyak mengajar saya menjadi manusia lebih baik.

“Sejujurnya, insan paling banyak menegur dan mendorong saya berubah menjadi lebih baik ialah isteri saya. Dialah banyak mengajar saya.

“Isteri mengajar cara berkomunikasi, cara berfikir, apa boleh cakap dan apa tidak. Kami belajar bersama-sama,” katanya.

Haqiem berkata demikian ketika menjayakan persembahan pada Majlis Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026, baru-baru ini.

Selain Haqiem, penyanyi legenda Zaiton Sameon turut dijemput memeriahkan Majlis Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026 yang dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/jangan-disebabkan-saya-sudah-berkahwin-anda-tidak-minat-lagi-haqiem-rusli-percaya-rezeki-allah/

Pernah Ikut Emosi, Kini Lebih Profesional

Dalam pada itu, penyanyi lagu Sangkar Derita ini turut menambah, sebelum ini dia mudah mengikut emosi dan sering bertindak terburu-buru, khususnya ketika berdepan sesuatu isu di media sosial.

Malah isterinya juga kini banyak membantu meningkatkan tahap profesionalismenya sebagai anak seni, termasuk daripada aspek penampilan dan persiapan sebelum membuat persembahan.

“Jujurnya isteri jugalah yang banyak mengajar. Dia banyak membuang perangai toksik lelaki saya.

“Pernah dia tegur, takkan setiap kali membuat persembahan saya nak pakai jaket sama sahaja?

“Dari situ saya sedar, kalau orang sudah membayar untuk melihat persembahan kita, kita juga perlu melabur demi memberikan persembahan terbaik.

“Dia juga nasihatkan saya untuk beli mikrofon baharu demi kualiti persembahan,” katanya lagi.

Tambah Haqiem, setiap teguran serta nasihat daripada isterinya membuatkan dia lebih menghargai kepentingan untuk sentiasa memperbaiki diri, bukan sahaja sebagai suami, malah sebagai anak seni yang sentiasa menjadi perhatian ramai.

Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026

Terdahulu, Majlis Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026 menjadi platform penghormatan tertinggi peringkat negeri yang dianjurkan secara kolaboratif oleh Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) serta Jabatan Pendidikan Negeri Pahang bagi memartabatkan profesion keguruan di samping meraikan kecemerlangan sekolah-sekolah di negeri itu.

Lebih RM60,000 diperuntukkan sebagai hadiah wang tunai bagi menghargai 49 penerima anugerah yang terdiri daripada individu dan institusi pendidikan. Antara pengiktirafan yang diberikan termasuk Hadiah Ikon Guru Akademik serta 11 kategori Ikon Guru daripada pelbagai latar belakang seperti pencipta kandungan digital, guru inovatif, guru OKU dan guru Orang Asli.

Bagi kecemerlangan akademik SPM pula, sebanyak 12 sekolah menerima pengiktirafan selepas mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) di bawah 2.30, selain beberapa sekolah lain yang berjaya merekodkan lonjakan GPS melebihi 0.90.

Dalam masa sama, 14 sekolah dari seluruh Pahang dipilih menerima Anugerah Lonjakan Layak Menerima Sijil (LMS) terbaik bagi memastikan pengiktirafan diberikan secara adil di setiap kawasan.

Sokongan terhadap sektor pendidikan turut diterjemahkan menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang dan PIBKS melalui penyediaan peruntukan khas serta pengurusan hadiah, sijil dan logistik.

Sebagai simbol kebersamaan warga pendidik, YAB Menteri Besar turut menyerahkan kain baju batik secara simbolik kepada Pengarah Pendidikan Pahang untuk diagihkan kepada lebih 25,000 warga pendidik di seluruh negeri itu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH