Hantar 50 Parcel Dalam 5 Jam, Haniff Hamzah Respek Pekerja Kurier – “ “Bila Aku Buat Sendiri, Sebenarnya Susah.”

Share

Bermula dari tahun 2016, pengacara dan penyampai radio, Haniff Hamzah akan sentiasa menyahut cabaran untuk cuba melaksanakan kerja-kerja yang belum pernah dia lakukan sebelum ini selama satu hari di bulan Ramadan.

Jika tahun-tahun sebelumnya Haniff pernah menjadi pengutip sampah dan peniaga air di bazar Ramadan, namun, pada kali ini, dia memutuskan untuk melakukan kerja-kerja khidmat penghantaran.

Jelas Haniff, dia hanya sempat bertahan selama lima jam kerana menyifatkan pekerjaan tersebut memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi.

“4 atau 5 jam aku keluar jadi penghantaran barangan bersama team Shopee Express. Aku hantar lebih kurang 50 parcel je. Kawasan PPR dan Flat.

“Maaf aku tak sambung untuk 2nd wave. Dan jujur aku cakap kerja ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Nak nak tengah puasa,” tulisnya.

Kenyataan tersebut dikongsikan oleh penyampai radio Era itu menerusi hantaran terkini di laman Instagram.

Katanya lagi, dia amat menghormati mereka yang bertungkus lumus bekerja di sektor penghantaran ini selain turut menyifatkan pekerjaan ini bukan sesuatu yang mudah.

“Aku tau kerja ni susah tapi bila aku buat sendiri sebenarnya dia lagi susah. Aku sangat menghormati kalian.

“Semua yang bekerja penghantaran ni. Aku memang tabik kat korang ah. Kental betul. Share sikit pengalaman korang jadi rider kat ruang komen. Kita Kasi orang tau perit dia,” ujarnya lagi.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memuji usaha yang dipamerkan oleh Haniff selain turut berterima kasih kerana telah menunjukkan realiti sebenar kerja-kerja di sektor khidmat penghantaran.

Sumber: Instagram Haniff Hamzah

IKLAN