
Bintang baharu, Hadie Elfardie yang juga anak kepada penyanyi nasyid terkenal Allahyarham Suhaimi Saad(bekas anggota kumpulan Inteam), kini melangkah lebih serius dalam dunia seni selepas menamatkan penyertaannya dalam program realiti, Talk To My Manager (TTMM), baru-baru ini.
Menurut Hadie, sebelum membuat keputusan untuk terlibat dalam industri hiburan, dia terlebih dahulu berbincang dengan ibunya yang juga pengurus, Ina Naim, bagi menilai baik buruk langkah tersebut.
“Saya dan ibu berbincang panjang sebelum saya ceburi bidang ini. Bila ditimbang-timbang, lebih banyak kebaikan yang boleh diperoleh, jadi saya cuba.
“Walaupun hanya berjaya ke peringkat akhir program realiti itu, saya bersyukur kerana ia membuka peluang untuk saya terus ke hadapan mencari rezeki,” katanya.
Remaja berusia 17 tahun itu turut menambah, meskipun minatnya lebih cenderung kepada bidang lakonan, dia sedar bakatnya lebih menyerlah dalam nyanyian.
“Saya memang suka berlakon, kadang-kadang di rumah pun saya berlakon dengan ibu. Tapi saya tahu nyanyian itu kekuatan saya. Jadi bila ada peluang berlakon, saya terima untuk mencuba,” ujarnya lagi.



Pintu Rezeki Terbuka Luas
Sementara itu, Ina memaklumkan selepas tamat program realiti berkenaan, rezeki anaknya semakin murahapabila menerima pelbagai tawaran termasuk daripada Jaja Ishak Channel untuk menjayakan sebuah filem pendek.
“Syukur, selepas program itu tamat, ada beberapa rezeki yang datang. Saya sebagai pengurus sedang menyusun jadual Hadie.
“Tawaran daripada Jaja Ishak Channel datang pada waktu yang tepat, dan dalam filem pendek itu Hadi akan digandingkan dengan Qadejah El Zahra atau Cess, anak kepada Datuk Seri Aliff Syukri,” katanya.
Bagi Ina, kerjasama itu bukan sekadar peluang karier, tetapi juga membawa makna peribadi kerana Jaja merupakan sahabat lama arwah suaminya.
“Saya kenal penerbit, Jaja sudah lama kerana dia sahabat arwah Suhaimi di bangku sekolah. Jadi bila dia tawarkan projek ini, saya rasa tenang sebab dia tahu batas kami dan cara kami bekerja.
“Arwah dulu pun sangat menghormati Jaja sebagai sahabat yang sentiasa menyokong, jadi bila Hadie dapat peluang ini, rasa macam meneruskan legasi yang arwah tinggalkan,” ujarnya.
Buat masa ini, Ina memilih untuk memberi tumpuan kepada lakonan sebelum melancarkan single pertama Hadi.
“Ramai di TikTok yang minta Hadi berlakon, jadi kami fokus dulu ke arah itu. Tapi saya tak terima semua tawaran secara terburu-buru.
“Saya nilai dulu setiap skrip dan produksi, supaya tiada babak bersentuhan atau adegan yang boleh menimbulkan fitnah,” katanya.
Dalam masa sama, Ina menegaskan dia mahu anaknya dikenali dengan bakat dan nilai yang baik.
“Saya tak mahu Hadi popular tanpa pengisian. Saya mahu dia dikenali dengan bakat dan nilai yang baik. Dia masih muda, jadi saya pantau setiap langkahnya.
“Insya-Allah bila dia sudah pandai bawa diri, saya akan beri lebih ruang,” katanya lagi.
Sementara itu, penerbit Jaja Ishak menjelaskan idea menampilkan Hadi hadir selepas melihat sambutan positif terhadapnya di media sosial.
“Kami lihat ramai yang suka dengan personaliti Hadi dan peserta lain dari program itu.
“Jadi saya ambil peluang untuk bekerjasama dengan dia dan Ina. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.
Filem pendek berjudul Antara Dua Darjat itu bakal ditayangkan di platform media sosial sebelum penghujung November ini.
“Secara asasnya, nakshah ini mengisahkan mengenai jalinan percintaan di antara dua individu yang berlainan latar belakang, sekaligus berdepan dengan tentangan keluarga.
“Ia sebuah kisah masyarakat yang menyentuh hati. Selain Hadie, beberapa pelakon lain sudah kita kenal pasti. Insya-Allah kami menjanjikan penggambarannya akan dilakukan secepat mungkin,” katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




