
Pelakon Kamal Adli tampil menjelaskan mengenai luahan hatinya berkaitan perasaan sunyi yang dikongsikan menerusi Threads baru-baru ini.
Menurut Kamal, hantaran tersebut bukanlah petanda dia sedang melalui fasa kemurungan, sebaliknya sekadar berkongsi perasaan yang sukar dijelaskan apabila ia hadir secara tiba-tiba sehingga mengganggu emosinya.
“Saya bukanlah terlalu sunyi, cuma pada hari itu sahaja perasaan itu menyerang saya. Ketika ini, saya memang duduk di rumah seorang diri.
“Saya bukanlah anxiety atau kena serangan panik. Cuma perasaan sunyi itu tiba-tiba datang. Lagipun, ketika itu sudah lewat malam dan saya tiada orang nak ajak berborak.
“Rasa sunyi itu agak teruk juga. Rasa itu serang emosi saya,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Astro Fandom yang berlangsung di D Theatre, Hextar World Empire City, Petaling Jaya, pada Selasa.
Menurut Kamal, luahan yang dibuat itu turut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai termasuk golongan profesional dan alim ulama yang berkongsi pandangan serta pengalaman, sekali gus membantunya memahami perasaan yang sedang dialami.
“Ada yang minta saya berjumpa ahli keluarga dan dekatkan diri dengan Allah. Saya memang ada berjumpa dengan ibu ayah. Bukan kekosongan itu yang saya maksudkan.
“Saya sendiri tak tahu tentang perasaan yang saya rasa itu. Sebab itu saya kena bertanya kepada orang. Mungkin mereka juga pernah merasai rasa yang sama.
“Saya tak sangka luahan saya itu turut mendapat pendangan daripada orang ramai termasuklah daripada golongan profesional dan alim ulama’.
“Saya seronok baca perkongsian mereka. Saya boleh relate dan ia menenangkan saya semula. Esoknya, saya terus jumpa Hawra dan luangkan masa bersama,” kongsinya lagi.
Ditanya sama ada perasaan tersebut menjadi petanda dirinya perlu mencari pasangan hidup bagi mengisi kekosongan, Kamal menjelaskan perkara itu langsung tidak terlintas di fikirannya buat masa ini.
Sebaliknya, fokusnya kini hanya tertumpu kepada anak tunggalnya, Hawra Uqaira, yang disifatkan sebagai penyeri hidup dan sumber kebahagiaannya.
“Saya tidak melihat ke arah itu. Ketika ini, saya gembira kerana adanya Hawra. Dialah penyeri hidup dan kebahagiaan saya. Disebabkan jadual kerja, saya jarang dapat jumpa Hawra.
“Namun, bila jumpa Hawra, saya memang luangkan masa sebaik mungkin. Saya langsung tak pegang telefon. Pengurus saya memang akan selalu ikut.
“Dialah yang rakam segalanya dan bagi kepada saya. Saya pun kongsikan sahaja di media sosial. Setidaknya ada tempat untuk saya simpan kenangan bersama Hawra,” katanya lagi.
Untuk rekod, Kamal pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Uqasha Senrose pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
Mereka kemudiannya disahkan bercerai pada 12 Januari lalu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini