
Sebuah filem terbitan negara Arab berjudul Mr VIP yang menampilkan gandingan aktor sensasi terkenal, Karim Abdel Aziz dan jelitawan Yasmine Sabri, dilaporkan sedang menjalani penggambaran di Malaysia.
Menjadikan ibu negara sebagai antara lokasi utama, filem terbitan syarikat produksi gergasi dunia perfileman Arab, Synergy Plus itu turut dijayakan menerusi kerjasama dengan Inifinity Films yang diterajui Abdulrahman Suud.
Difahamkan, filem arahan Mootaaz El Tomy itu memulakan penggambaran secara tertutup tanpa sebarang hebahan sejak 21 Jun lalu dan mengambil tempoh lebih dua minggu untuk disiapkan.
Lebih menarik, kos pembikinan filem berkenaan masih dirahsiakan, namun projek itu mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), selain Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Abdulrahman yang membesar di Malaysia lebih puluhan tahun selain pernah mencuba nasib sebagai pelakon bersama produksi tempatan, dia berbangga dapat mempromosikan negara ini ke pentas industri perfileman Timur Tengah.
“Boleh dikatakan lebih 40 peratus penggambaran filem ini disiapkan di Malaysia. Malah selepas berakhir penggambaran di sini, proses pos produksi juga bakal diadakan di Malaysia.
“Sepanjang tempoh penggambaran, kedua produksi cuba ‘mengeksploitasi’ keindahan Malaysia sekali gus mempromosi pelancongan dan mempamerkan keindahan Malaysia serta rakyatnya.
“Kami harus berterima kasih kerana semua Ini dapat direalisasikan dengan sokongan MOTAC untuk memastikan kelancaran projek mega ini.
“Tambahan pula, Malaysia dan Mesir sudah menjalinkan hubungan diplomatik yang erat sejak sekian lama. Ia juga mendorong kami untuk menumpukan perhatian kepada Malaysia sebagai bukti kasih sayang yang dikongsi antara kedua-dua negara,” katanya.
Abdulrahman turut menggalas tanggungjawab sebagai penerbit eksekutif filem terbabit turut menambah, kerjasama di antara Synergy Plus dan Infinity Films diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek melibatkan kedua-dua negara pada masa akan datang.
“Kalau boleh selepas ini, kami mahu syarikat penerbitan filem dan TV Arab terus menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama penggambaran. Moga jalinan ini akan terus ada kesinambungannya.
“Saya lakukan semua ini juga atas kecintaan terhadap Malaysia. Negara ini bagai sebati dalam diri dan kecintaan terhadap Malaysia tiada belah bahagi.
“Saya datang ke sini ketika berusia lapan tahun. Sebelum itu saya menetap di Jepun dan India.
“Selepas ibu bapa menerima tawaran bekerja di KL, kami sekeluarga berpindah ke sini pada 1992. Saya bersekolah dan mencari rezeki di Malaysia.
“Setiap kali meninggalkan Malaysia, pasti saya tidak sabar untuk kembali,” katanya yang dilahirkan di Iraq.
Penggambaran Tertutup, Babit 220 Kru Tempatan
Mengulas mengenai proses penggambaran yang berlangsung secara tertutup di sekitar Kuala Lumpur, Abdulrahman menjelaskan perkara itu adalah selaras dengan polisi ketat yang ditetapkan oleh pihak produksi.
“Memang agak ketat sebenarnya cara dan polisi kerja produksi filem ini. Ia juga didorong dengan sebab kemasyhuran aktor otai, Karim Abdel Aziz.
“Beliau dianggap sebagai bintang nombor satu di sana dan mampu menarik peminat serta penonton untuk serbu ke pawagam.
“Pendek kata, pelakon berkenaan antara pelaris dan paling mahal di sana. Malah gambar atau ‘footage’ penggambarannya di set atau lokasi juga tidak boleh didedah atau dikongsi sewenang- wenangnya,” katanya lagi.
Malah, penggambaran Mr VIP di Malaysia melibatkan seramai 220 kru tempatan serta 33 kru termasuk barisan artis dari Mesir.
“Dalam filem bercorak komedi sosial ini, Karim dan Yasmine berlakon sebagai pasangan suami isteri. Ia juga menjadi gandingan kedua mereka bersama. Pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater turut membintangi filem ini,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.