Filem Abang Long Fadil 2 Dirompak Lagi

Tempoh hari heboh tentang filem Abang Long Fadil 2 yang diteraju oleh Zizan Razak bocor apabila tindakan seorang individu telah memuatnaik sedutan filem tersebut tanpa kebenaran ke media sosial.

Rentetan daripada hal itu, penerbit filem tersebut, Datuk Yusof Haslam telah membuat laporan polis agar perkara ini tidak berulang lagi dan walaupun hanya 30 saat durasi filem yang dibocorkan namun ianya memberi impak pada pembikinan filem ini.

Sudah diberi amaran kepada semua agar perkara ini tidak berulang lagi namun nampaknya amaran yang diberikan tidak diendahkan oleh segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab.

IKLAN

Terbaru menurut sumber Astro Gempak, Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar telah membuat satu laporan polis kerana filem Abang Long Fadil 2 ini nampaknya telah dirompak buat kali kedua dan seorang pengguna laman Youtube bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Kami memandang serius perkara ini dan laporan polis ini dibuat untuk menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab ini sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya.

Kata sumber lagi, filem tersebut telah dimuat naik di laman Youtube pada pukul 8.55 malam dan rakaman penuh filem itu dilakukan secara tersembunyi.

Walau bagaimanapun, rompakan kali kedua filem tersebut yang telah dibocorkan ke laman Youtube itu telah disedari oleh Yusof dan amaran telah dikeluarkan kepada pihak yang terbabit.

Didapati rakaman video tersebut telah dipadamkan daripada laman media pada jam 9.45 malam namun menurut sumber lagi rakaman filem tersebut telah ditonton lebih daripada 100 pengguna.

IKLAN

Denda sebanyak RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada pihak yang melanggar Akta hakcipta 1987 jika disabitkan kesalahan.

Sumber: Astro Gempak