Hiburan

Eyka Farhana Syukur Terharu Lihat Transformasi Akhyar Rashid Sebagai Bapa, Kehidupan Kini Lebih Bermakna – “Jelas Nampak Sisi Tanggungjawab…”

Share

Pelakon Eyka Farhana mengakui kehidupannya kini semakin sibuk namun lebih bermakna selepas selamat bergelar ibu kepada Muhammad Luay Khayr pada 16 Mei lalu.

Malah menurut Eyka, dia juga kini sudah kembali bekerja selepas berehat selama dua bulan selepas melahirkan putera sulungnya itu.

Eyka pada masa sama menyifatkan status sebagai ibu baharu bukan penghalang untuknya terus komited dalam kerjaya dan dia bersyukur dikurniakan sistem sokongan khususnya ibunya yang banyak membantu ketika dia bekerja.

“Alhamdulillah, sekarang saya sudah kembali bekerja seperti biasa selepas dua bulan berehat.

“Anak saya pun dah nak masuk tiga bulan usianya. Jadi bagi saya, itu bukan satu halangan untuk bekerja sebab saya ada ibu dan keluarga yang saya sangat percayai untuk jaga anak,” katanya kepada MH.

Pelakon drama Budak Tebing itu berkata demikian ketika ditemui pada acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di KLCC, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Rutin Lebih Padat, Kehidupan Semakin Bermakna

Dalam pada itu, Eyka mengakui rutin hariannya kini jauh lebih padat berbanding sebelum ini.

Namun, segala perubahan yang dilalui disifatkan membawa kebahagiaan dan menjadikan kehidupannya lebih bermakna.

“Saya tidak nafikan rutin sekarang lebih padat, tapi pada masa sama lebih bermakna.

“Banyak perubahan dalam kehidupan seharian, tapi semuanya ke arah yang lebih baik dan buat saya lebih bahagia alhamdulillah,” kongsinya lagi.

Eyka turut meluahkan rasa terharu apabila suaminya yang juga pemain bola sepak, Akhyar Rashid, kini dapat berada lebih dekat dengannya selepas pasukan yang diwakilinya kini menjalani latihan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, situasi tersebut memberi peluang lebih baik kepada mereka untuk sama-sama membesarkan anak.

“Apabila saya sudah melahirkan anak, Akhyar diberi peluang untuk bermain dalam pasukan Negeri Sembilan yang mana ‘base’ latihannya hanya di Kuala Lumpur.

“Jadi setiap hari dia akan berulang-alik balik ke rumah. Bagi saya, itu adalah satu ‘bonus’ bila suami ada dekat dengan kita.

“Walaupun kalau berjauhan saya tak ada masalah, tapi bila dapat sama-sama jaga bayi kami, itu sesuatu yang saya sangat hargai,” katanya.

Akhyar Makin Bertanggungjawab Selepas Bergelar Bapa

Berkongsi mengenai perubahan suaminya, Eyka berkata dia dapat melihat sendiri sisi baharu Akhyar yang kini lebih bertanggungjawab.

Dia juga teliti dalam menguruskan anak mereka, termasuk sanggup bangun pada waktu malam.

“Bila Ahkyar sudah jadi ayah ni, dia nampak lebih tegas. Sebenarnya dia bukan garang, cuma sekarang dia jadi lebih teliti dan ‘particular’ bila bab anak termasuk bangun tengah malam untuk uruskan anak.

“Saya nampak sendiri perubahannya. Sifat kebapaan itu. Dia memang sudah berbeza daripada Akhyar yang saya kenal dulu.

“Waktu bercinta lain, waktu awal kahwin pun lain, tapi bila dah jadi seorang ayah, memang jelas nampak sisi tanggungjawab dia kini berubah dan lebih besar,” ujarnya lagi.

Imbas kembali, Eyka dan Akhyar mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2025 dan hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Luay Khayr.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza