
Pelakon Evertts Gomes mendedahkan dirinya lebih selesa untuk tidak menceritakan hal peribadinya kepada tontonan umum.
Malah Evertts juga berpendapat, apabila seseorang berdepan dengan sesuatu masalah, perkara itu tidak semestinya perlu dikongsikan secara terbuka.
“Sejujurnya, saya rasa apabila kita mempunyai masalah, memang benar kita perlu berbincang dengan orang lain.
“Namun, bukanlah sehingga seluruh Malaysia perlu mengetahui perkara tersebut.
“Jika kita terlalu banyak berkongsi, itu lebih kepada ‘seeking attention’ pula,” katanya kepada MH.
Evertts berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana episod pertama Kudrat 1968: High Council di TGV Cinemas, Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.
Dalam masa sama, bekas peserta Hero Remaja 2023 itu menegaskan setiap isu yang timbul lebih baik diselesaikan antara pihak terlibat dan tidak perlu diperbesarkan.
“Contohnya, jika kita ada masalah dengan seorang kawan kita seharusnya berbincang dengan kawan itu sahaja.
“Kenapa perlu membawa isu itu keluar dan meminta pendapat dari orang lain?
“Bagi saya, jika anda mahu berkongsi sesuatu perkara, pastikan ia positif dan boleh dipelajari daripada apa yang telah berlaku,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai perspektifnya terhadap aplikasi Threads, Evertts menyifatkan platform tersebut mempunyai nilai baik dan buruknya yang tersendiri.
“Bagi saya, postif atau negatif itu terpulang dengan bagaimana cara seseorang itu menggunakannya.
“Kita ada kefahaman dan kematangan sendiri. Satu peribahasa yang suka saya adalah ‘buang yang keruh ambil yang jernih’.
“Belajar dan ambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Jika melihat yang keruh janganlah ambil. Yang keruh itu pun tidak perlu dibalas, disoal,dan dikomen. Ambil yang jernih sahaja.
“Jadi pada saya, sosial media ada kelebihan dan kekurangannya. Ia terpulang kepada cara kita menggunakannya.
“Threads itu sendiri misalnya, boleh digunakan sebagai ‘senjata’ untuk menghentam seseorang dan juga boleh jadi sebagai platform untuk menimba ilmu dan buat bisnes,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.