
Genap enam tahun pemergian suami tercinta, penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari menzahirkan rasa rindu yang tidak pernah padam terhadap Allahyarham Ashraf Sinclair.
Menerusi satu perkongsian menyentuh hati di Instagram, Bunga mengakui kehilangan tersebut telah mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
Walaupun masa terus berlalu, kesan kehilangan itu masih dirasai sehingga kini.
Namun begitu, selepas enam tahun, dia dan keluarga tetap meneruskan kehidupan dengan penuh kekuatan.
“Enam tahun lalu, sesuatu yang tak pernah kami bayangkan berlaku. Kamu pergi terlalu awal. Dunia terasa berubah dengan cara yang kami sendiri tak sangka.
“Enam tahun kemudian, kami masih di sini.
Masih membesar, belajar untuk sembuh dan meneruskan hidup.
“Membawa kamu dalam hati dan dalam doa setiap hari tanpa gagal,” tulisnya.
Tambah ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi, walaupun enam tahun telah berlalu, dia dan keluarga sentiasa membawa semangat Allahyarham dalam setiap langkah kehidupan.
Menurutnya, hari peringatan itu bukan sekadar mengenang kehilangan, tetapi juga meraikan kasih sayang yang telah membentuk diri mereka hari ini.
“Hari ini kami mengenang, bukan hanya tentang kehilangan tetapi tentang kasih sayang yang membentuk siapa diri kami.
“Setahun lagi telah berlalu, hidup tidak terhenti, ia terus membawa kami ke hadapan.
“Kami sedang membina kenangan baharu sekarang. Namun, kamu tetap terjalin dalam diri kami. Masih disayangi, masih diingati dan masih ada dalam setiap doa,” ujarnya lagi.
Imbas kembali, Ashraf Sinclair meninggal dunia pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.
Bunga dan pelakon asal Malaysia itu mendirikan rumah tangga pada 8 November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Noah.
Pada 2 Disember 2023, Bunga kembali bergelar isteri selepas mendirikan rumah tangga bersama Tiko Aryawardhana di Bali, Indonesia.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.