Berita

Elly Mazlein Bangga Anak Sulung Raih ‘Straight A’, Ikhtiar Pantau Pelajaran Walau Sibuk – “Nikmat Apa Lagi Yang Nak Saya Dustakan?”

Share

Selebriti versatil, Elly Mazlein amat bersyukur apabila anak sulungnya, Puteri Sara Sefhia berjaya meraih keputusan semua A di dalam peperiksaan yang diambilnya, baru-baru ini.

Menurut Elly, dia berbangga terhadap pencapaian tersebut selain menyifatkan ia usaha untuk memberikan pendidikan terbaik buat anak-anak ternyata berbaloi.

“Saya sangat bersyukur Sefhia dapat keputusan semua A dalam peperiksaan. Sebagai ibu bapa, kami sangat bangga.

“Apa yang kami cuba buat, walaupun saya sibuk bekerja bagai nak gila, ini semua adalah untuk mereka. Kami juga berusaha memberikan pendidikan yang terbaik.

“Bila dia mendapat keputusan seperti itu, nikmat apa lagi yang saya dustakan,” katanya kepada MH.

Elly berkata sedemikian ketika ditemui di program Meletop yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.

Masih Ada Yang Boleh Diperbaiki

Walaupun Sara Sefhia meraih keputusan yang baik, Elly bagaimanapun tetap memberikan perhatian terhadap mata pelajaran yang dilihat masih memerlukan perhatian, misalnya dengan mengikuti kelas tuisyen tambahan.

“Ketika ini, mana-mana subjek yang markahnya agak rendah, saya sudah sediakan kelas tuisyen seperti subjek Bahasa Melayu.

“Saya nak dia perbaiki lagi untuk mata pelajaran itu. Mata pelajaran lain, alhamdulillah dia okay,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi menambah, kesibukan bekerja tidak menghalangnya untuk sentiasa memantau perkembangan persekolahan anak-anak.

“Kalau saya perlu pergi bekerja, saya akan sentiasa buat panggilan video untuk tanya perkembangannya di sekolah. Mereka juga akan berkongsi apa yang berlaku.

“Saya juga akan tanya tentang kerja sekolah. Saya akan pastikan mereka selesaikannya. Sephia ini, ketika usia empat tahun, dia belajar dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

“Sephia memang sudah terbiasa dengan visual meeting. Jadi tuisyen juga secara atas talian. Dia cepat faham, Alhamdulillah,” kongsinya lagi.

Sekadar informasi, Sefhia merupakan anak sulung Elly hasil perkahwinan terdahulu bersama pengarah, Azmi Hatta.

Elly dan Azmi mendirikan rumah tangga pada 9 November 2014 sebelum memutuskan untuk bercerai 15 Oktober 2015.

Elly kembali berumah tangga bersama Mohamad Azlan Che Nuh, pada 18 Januari 2020.

Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya maya bernama Haider Mateen.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

 

Published by
Aizam Manaf