
Pelakon Elisya Sandha berharap orang ramai tidak mengheret keluarga, khususnya ibu mentuanya, Sheila Rusly susulan kritikan yang diterima terhadap drama lakonannya yang didakwa mengetengahkan isu sensitif.
Menurut Elisya, dia tidak kisah sekiranya orang ramai mempunyai pandangan yang berbeza mengenai drama tersebut.
Namun, dia menegaskan perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengaitkan ahli keluarganya.
“Tolong jangan libatkan ibu mentua saya. Siri ini langsung tiada kena mengena dengan dia. Jadi, saya sangat hargai seandainya anda tidak melibatkan keluarga saya dalam hal ini.
“Anda boleh berkata apa sahaja yang anda mahu tentang siri ini tapi jangan bawa keluarga saya sekali,” tulisnya.
Perkara itu disuarakan Elisya menerusi beberapa hantaran di aplikasi Threads.
Jelas adik kepada pelakon Fasha Sandha itu lagi, setiap perkara mempunyai batas dan dia berharap semua pihak dapat menghormati pendiriannya.
“Itu adalah batas yang saya sangat berpegang teguh dan saya harap anda dapat menghormatinya. Saya tidak mengambil hati tapi jangan melampaui batas. Terima kasih,” ujarnya.
Dalam masa sama, Elisya turut mengulas pandangan segelintir pihak yang menyifatkan drama terbaharu lakonannya berjudul Madu Atau Racun memberi pengaruh buruk kepada penonton.
Menurutnya, drama tersebut sebenarnya sarat dengan pengajaran selain mengetengahkan realiti yang berlaku dalam masyarakat serta institusi perkahwinan pada masa kini.
“Banyak benda yang mungkin kita boleh ambil sebagai iktibar daripada cerita ni. Mungkin sekarang kita belum nampak keseluruhan masejnya.
“Namun, percayalah anda kena tonton sehingga habis kerana ada kalanya, sesebuah cerita itu lebih daripada sekadar sebuah cerita.
“Ia mampu membuatkan kita bermuhasabah, membuka mata, mengubah cara kita melihat sesuatu perkara dan siapa tahu, mungkin cerita ini juga mampu mengubah perspektif atau kehidupan seseorang,” kongsinya lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Threads & Instagram Elisya Sandha