
Pelakon Elfira Loy meluahkan rasa sedih yang mendalam selepas kehilangan ibunya, Filzah Yusoff, yang menghembuskan nafas terakhir, Ahad lalu.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Elfira menyifatkan arwah ibunya bukan sekadar seorang ibu, malah insan yang memainkan pelbagai peranan penting dalam kehidupannya.
“Tak tahu cakap macam mana ma. Kakak bukan sahaja kehilangan seorang ibu , kakak kehilangan teman baik, seorang yang mengurus kerja kakak, stylist kakak, penasihat kakak, penjaga kakak dan yang paling penting satu satunya orang yang faham kakak.
“Satu satunya, mama…siapa lagi yang boleh faham kakak yang suka pendam
dan tak bercakap ni selain mama?
Dalam hantaran sama, pelakon drama Tentang Bulan itu turut berkongsi mengenai saat-saat akhir bersama arwah ibunya di hospital yang disifatkan sebagai satu ujian penuh kasih sayang.
“Allah memang sayang mama. Allah tahu mama sayang kitorang dan nak kitorang senang, Allah tak tarik nyawa mama terus.
“Allah kasi kitorang practice hari hari melawat mama dekat hospital tanpa boleh berborak dengan mama, hanya berbekalkan bacaan yassin menjadi perbualan kita.
“And now, is that it, Ma? Is that going to be our conversation forever? Hmm..,” luahnya.
Dalam masa sama, Elfira reda dengan ketentuan Allah SWT serta menyifatkan pemergian ibunya sebagai satu pengakhiran yang disanjungi.
“Kakak percaya, tiada pengakhiran yang lebih baik daripada ini.
“Mama pergi dengan cinta. Mama pergi dalam doa. Mama pergi setelah ramai datang menziarahi,” tulisnya.
Mengakhiri perkongsian, ibu kepada dua cahaya mata itu tetap akan meneruskan kehidupan dengan segala kasih sayang dan didikan yang ditinggalkan arwah ibunya.
“You are loved, Ma. You always have been. You always will be.
“Kakak akan terus hidup dengan cinta yang Mama ajarkan, dengan doa yang Mama tinggalkan, dan dengan Allah yang Mama cintai sepenuh hati. I love you, Ma,” akhirinya.
Di ruangan komen, berita duka itu dibanjiri dengan kata-kata semangat daripada rakan-rakan industri yang mendoakan Elfira sekeluarga agar terus diberikan kekuatan.
Sebelum ini, Elfira memaklumkan ibunya, Filzah Yusoff, telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad selepas berada dalam keadaan kritikal menerusi hantaran di Instagram Story.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.