Penyanyi asal Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dibebaskan hari ini selepas menjalani tahanan hampir sembilan bulan di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.
Pembebasan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat yang mendapati tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan beliau bersama lima individu lain dengan kes pemilikan lebih 6,000 pil methamphetamine yang ditemukan di sebuah bilik hotel di Sungai Kolok, pada November tahun lalu.
Turut dibebaskan ialah suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta Eridieka Mohd Noor, Mohamad Alif Deraman, Nur Aida Mamat dan Zuhaira Nasrin, masing-masing berusia lingkungan 26 hingga 33 tahun.
Ads
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dadah terbabit dipercayai dibawa masuk oleh tiga individu lain yang tidak termasuk dalam senarai tertuduh.
Namun begitu, kesemua tertuduh didapati bersalah atas kesalahan penggunaan dadah dan dikenakan hukuman penjara enam bulan serta denda 4,000 baht. Tempoh hukuman berkenaan dianggap telah selesai memandangkan mereka telah ditahan sejak penghujung tahun lalu dan menunjukkan disiplin sepanjang tempoh berkenaan.
Ads
Eda Ezrin sebelum ini cukup dikenali menerusi penglibatannya dalam muzik dikir barat moden terutamanya menerusi lagu popular, Bae Sobar Bae. Penahanannya di Thailand menjadi perhatian media serta peminat industri hiburan tempatan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon, Fattah Amin mendedahkan ibunya, Azizah Abdul Ghani, agak terkesan susulan dakwaan yang kononnya dia mempunyai hubungan dingin dengan cucu, Nur Fatima Aisha.
Menurut Fattah, dia telah menasihati ibunya supaya tidak terlalu memikirkan komen-komen netizen di media sosial.
“Sudah tentulah ibu saya agak sedih bila hal seperti ini berlaku. Saya bagitahu ibu, tak perlu baca atau tengok segala hal yang berlaku di media sosial.
“Orang luar tak tahu apa yang terjadi. Mereka boleh buat bermacam fitnah dan andaian.
“Kesimpulannya, jika sesuatu perkara itu tidak benar, kita jangan terasa atau terkesan,” katanya kepada MH.
Fattah berkata demikian ketika ditemui di majlis pengenalan duta baharu Amber di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada masa sama, Fattah turut kesal apabila ada pihak membuat spekulasi tidak benar berkaitan ibunya.
“Sebagai anak dan bapa, bila hal seperti ini terjadi kepada keluarga saya, saya rasa kesal.
“Namun, bila setiap kali saya berikan kenyataan, saya selalu ingatkan kepada para peminat dan ahli keluarga, kalau tiada perkara baik untuk komen, tak perlulah berkata apa-apa.
“Kalau nak komen pun, komenlah yang baik-baik. Namun, kita tak boleh kawal tindakan orang lain.
“Apapun, saya sudah jalankan tugas saya. Terpulanglah mereka nak buat apapun.
“Inilah lumrah anak seni. Sesiapa pun boleh bercakap fasal kita. Namun, sebagai selebriti, kita tetap kena tunjuk contoh terbaik,” ujarnya.
Ditanya mengenai perasaannya apabila namanya kerap terpalit kontroversi, Fattah mempunyai jawapannyq sendiri.
“Saya akan terus bekerja seperti biasa. Bila orang wujudkan sesuatu isu, pada saya ini bukan perkara baru. Ia sudah berlaku sejak awal pembabitan saya dalam dunia seni.
“Fokus saya kini hanya berkaitan kerja dan keluarga. Selebihnya, jika ada orang nak buat perkara yang tidak baik, saya serahkan kepada Allah,” katanya lagi.
Terdahulu, tular rakaman siaran langsung memaparkan Fatima mengadu kepada ibunya, pelakon Nur Fazura, dengan mendakwa neneknya berkata dia tidak comel dan tidak pandai.
Namun, Fazura menafikan dakwaan tersebut dengan nada tenang, menjelaskan mustahil ibu mentuanya tergamak melontarkan kata-kata sedemikian.
Adik Fattah, Raihan Amin, turut tampil menolak tuduhan yang mendakwa ibu mereka mengeluarkan kata-kata negatif terhadap cucu kesayangannya itu.
Malah, menerusi hantaran terbaharu di Instagram, Fattah berkongsi rakaman video memaparkan perbualan telefon antara Fatima dan ibunya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham tampil mengulas isu melibatkan khidmat penyampai radio yang didakwa mudah ditamatkan meskipun masih terikat kontrak.
Menurut Issey atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin, sebagai pekerja kita harus sentiasa bersedia berdepan cabaran.
“Setiap pekerjaan ada cabaran yang tersendiri. Cabaran yang diduga dan tak terduga. Seperti saya yang bekerja di stesen radio THR Gegar, saya memang ikut apa kehendak pihak pengurusan dan sasaran pendengar kami.
“Stesen radio kami lebih tertumpu kepada pendengar daripada Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Jadi, saya banyak meneroka konten-konten untuk orang Pantai Timur.
“Malah, ramai juga perantau daripada negeri Pantai Timur,” katanya kepada MH ketika ditemui di majlis sidang media program Makar Fest, baru-baru ini.
Issey menambah, soal kontrak boleh dibincangkan bersama majikan bagi menentukan hala tuju kerjaya pada masa depan.
“Saya hanya fokus kepada diri sendiri sahaja. Sejujurnya, untuk hal-hal lain, siapa yang mengenali saya, mereka tahu saya ini bukanlah sejenis yang ambil tahu fasal orang lain.
“Saya sendiri pun tak tahu berapa lama lagi saya akan bekerja sebagai penyampai radio. Kita bekerja mengikut kontrak.
“Kebiasaannya, tiga atau empat bulan sebelum kontrak tamat, saya akan berjumpa dengan majikan untuk berbincang tentang perancangan masa hadapan.
“Adakah kontrak kita disambung atau tidak? Jadi, kita boleh buat perancangan lebih awal,” jelasnya memberikan pandangan peribadi.
Issey turut bersyukur apabila kontraknya dilanjutkan untuk dua tahun lagi.
“Alhamdulillah, saya baru sahaja menyambung kontrak bersama selama dua tahun. Masih ada rezeki saya di sini. Saya pun selesa dengan pasangan saya iaitu Fizi.
“Kini, saya sudah sembilan tahun bergelar penyampai radio,” ujarnya.
Isu Pelawak Jadi Penyampai Radio
Mengulas keluhan segelintir pihak yang kurang senang dengan pelawak bergelar penyampai radio, Issey ada pendapat sendiri.
“Walaupun latar belakang saya bukanlah seorang penyampai radio, bila kita diberi kepercayaan, kita kena ikut kehendak industri penyiaran radio.
“Ketika di konti, saya kena ikut peraturan sebagai penyampai radio. Elemen lucu itu terjadi dengan sendirinya dan bukan dibuat-buat.
“Ada ketika, elemen lucu itu memang diperlukan. Saya dan Fizi banyak bercerita tentang sesuatu topik dan isu semasa bersama pendengar. Elemen lucu itu memang biasa terjadi.
“Sejak dahulu lagi, saya tidak meletakkan diri saya sebagai pelawak. Saya sedar itu bukanlah gelanggang saya. Saya tak kuat di gelanggang itu,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Setiap kali bulan Ogos menjelma, seluruh negara dipenuhi dengan warna Jalur Gemilang yang berkibar megah di jalanan, di bangunan pencakar langit dan di serambi rumah. Namun, kemerdekaan bukan sekadar pada bendera yang berkibar atau laungan merdeka yang bergema di stadium. Ia hidup dalam nadi rakyat, berdenyut dalam cerita kecil yang sering kita pandang sebelah mata.
Tahun ini, Astro menghidangkan siri dokumentari Astro Merdeka 2025 yang mengajak kita menyingkap wajah sebenar Malaysia. Wajah itu tidak semata-mata dipotretkan dalam perarakan rasmi, tetapi terlukis indah dalam kehidupan harian kanvas masyarakat yang sederhana.
Episod pertama berjudul Famili Ikat Tepi membawa penonton ke Tapah, Perak melawat Xin Aun Nong Yong, sebuah kopitiam yang berusia hampir seabad. Bangunan kayu tua itu masih teguh berdiri, seolah menjadi saksi bisu kepada ratusan pertemuan dan ribuan perbualan yang pernah berlabuh di situ sejak sebelum Merdeka lagi.
Bau kopi pekat yang menyapa hidung, bunyi sudu berlaga dengan gelas kaca, dan gelak tawa pelanggan menjadi harmoni yang tidak pernah pudar. Bersama Nadeera dan Sharul Kamal, Aril Pilus menghidupkan semula nostalgia ini, seakan mengingatkan kita bahawa warung kecil itu lebih daripada sekadar tempat menjamu selera.
Ia adalah ruang menyulam persahabatan, medan menyambung cerita, dan monumen perpaduan yang tumbuh tanpa dipaksa. Mesej tersiratnya sangat jelas. Di balik meja kayu yang usang, kita melihat bagaimana perbezaan latar belakang tidak menjadi sempadan.
Seorang pesara, seorang warga emas dan seorang pekerja boleh duduk semeja, berkongsi cerita sambil menghirup kopi panas. Segelas minuman itu lebih ampuh daripada ribuan slogan, kerana ia menautkan jiwa dalam bahasa paling mudah, iaitu kebersamaan.
Episod kedua pula menyingkap kisah jauh di Lutong, Miri, Sarawak, melalui judul Tempat Letak Harmoni. Di kawasan ini berdiri Masjid An-Naim dan Good Shepherd Church, dua rumah ibadah yang bersebelahan. Uniknya, kedua-duanya berkongsi tanah parkir yang dimiliki. Dari luar ia tampak seperti susun atur kebetulan, tetapi di baliknya tersimpan falsafah besar tentang toleransi dan kepercayaan.
Aril bersama Daniel Sher dan Wani Kayrie menyingkap bagaimana masyarakat setempat membudayakan sikap bertolak ansur dengan penuh rela. Ketika tiba solat Jumaat, halaman dipenuhi kenderaan jemaah masjid. Pihak gereja tidak mempertikaikan, malah memahami bahawa itu saat penting buat saudara Muslim mereka.
Sebaliknya, ketika Ahad menjelma, giliran ruang itu menjadi milik penganut gereja untuk berkumpul dan beribadat. Semuanya berlaku dengan penuh hormat, tanpa sebarang sengketa. Di sinilah kita melihat bagaimana sebuah ruang parkir yang sederhana menjadi lambang besar kepada kematangan rakyat Malaysia. Ini bukti bahawa perpaduan bermula daripada adab kecil, daripada kemampuan hati manusia untuk memberi ruang dan mengutamakan harmoni berbanding ego.
Episod ketiga berjudul Seni Berkawan pula memperlihatkan sisi yang lebih berwarna-warni. Tiga seniman muda, Izzati Suza, Riynn Lee dan Karthine, disatukan dalam satu ruang kreatif, ditemubual oleh kumpulan remaja popular masa kini, Alpha bersama Aril.
Walaupun setiap seorang datang daripada latar budaya dan gaya seni yang berbeza, mereka berkongsi satu tekad, iaitu menjadikan seni sebagai jambatan yang merapatkan jurang perbezaan. Dari bicara santai mereka, terbit satu kebenaran bahawa seni adalah bahasa yang tidak bertuan. Ia tidak memerlukan penterjemah untuk difahami, sebaliknya terus menyentuh jiwa sesiapa sahaja yang mendengar atau melihatnya. Mesej tersiratnya lembut tetapi kuat.
Kreativiti manusia mampu menembus dinding perbezaan, melangkaui sempadan bahasa dan agama, lalu meresap ke dalam hati dengan keindahan yang tulus. Dari ruang seni inilah kita belajar bahawa kemerdekaan sebenar bukan sahaja terletak pada bebasnya sebuah negara, tetapi juga pada bebasnya hati kita daripada prasangka.
Dalam tiga kisah ini, Astro tidak sekadar menyiarkan dokumentari. Ia seakan mengirimkan sepucuk surat cinta kepada rakyat Malaysia. Kemerdekaan dan Hari Malaysia tidak hanya hidup dalam gendang perbarisan atau kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga dalam kopi yang dikongsi bersama, dalam parkir yang dirunding penuh hemah, dan dalam seni yang melintasi sempadan budaya.
Dengan Aril Pilus sebagai pengikat naratif, Astro Merdeka 2025 menjahit benang halus yang menghubungkan kita semua. Ia mengingatkan bahawa perpaduan bukanlah impian jauh di awan, tetapi kenyataan yang dapat ditemui dalam detik kecil. Ia ada di kopitiam, di pekarangan ibadah dan di studio seni.
Inilah wajah Malaysia sebenar, wajah yang merdeka kerana hati rakyatnya hidup bersama berpaut dalam harmoni. Jangan lepaskan peluang menyaksikan episod penuh ketiga-tiga dokumentari menarik penuh bermakna ini di sini.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!