Dua Individu Akhirnya Bersemuka Dengan Rita Rudaini, Masih Pertimbang Saman Malu

Share

Aktres Rita Rudaini akhirnya bersemuka dengan dua individu yang meninggalkan komen menerusi media sosial aktres tersebut yang berniat jahat mempersoal taraf anak-anaknya.

Sekali gus, ia memberi kesan buruk terhadap kedua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8, menerusi salah satu foto yang dimuat naik.

Dua lelaki yang dimaksudkan, tampil memohon maaf secara terbuka sekali gus mengakui tindakan mereka memfitnah status kedua anak lelaki pelakon, Rita Rudaini di Instagram dan Facebook.

Dua individu berkenaan ialah Ahmad Najib Mat Arif, 38, yang juga pengguna akaun Instagram @ahmadsan81 dan Hafiidz Ahmad Mustaffa, 39, pengguna akaun Facebook.

“Apabila komen tersebut diperkatakan, ia tidak berhenti di situ saja hingga jadi tular.

“Malah anak-anak turut ditanya mengenai hal sama. Jadi bila hal itu berlaku, rasanya saya patut ambil tindakan sewajarnya atas nasihat peguam,” jelas Rita kepada MH.

Pelakon tersebut pada masa sama turut menjelaskan, keduanya sudah mengakui kesilapan atas apa yang ditulis mereka menerusi media sosial miliknya.

“Melalui percakapan yang direkod, keduanya mengakui kesilapan berdasarkan komen yang ditulis di akaun IG dan Facebook saya.

“Saya berharap pernohonan maaf mereka ikhlas dan tidak akan buat lagi. Biar perkara ini menjadi pengajaran kepada semua,” katanya lagi.

Peguam yang dilantik Rita, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Naya, pula menegaskan pihaknya masih mempertimbangkan untuk membuat saman malu.

“Memandangkan perkara ini sudah menular di semua platform media sosial dan berangkai, anak guam saya akan mempertimbangkan untuk saman malu.

“Perkara ini juga memberi kesan kepada dua anak Rita apabila mereka turut ditanya di sekolah mengenai status mereka dan isu ini.

“Sekali gus, ia mencalar imej, maruah diri dan kredibiliti Rita. Apa pun, pihak kami akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, laporan polis berhubung perkara tersebut telah dibuat bintang Mami Jarum itu dengan diwakili peguam pada 21 Oktober lalu di Balai Polis Kota Damansara jam 2.30 petang.

Untuk rekod, Rita berkahwin dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008 namun mereka mengambil keputusan untuk bercerai pada September 2013.

Ikuti temu bual penuhnya;

IKLAN