
Dikatakan kini sedang hamil cahaya mata sulung, isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib, iaitu Watie Hanifiah, mengakui belum bersedia untuk berkongsi sebarang perkembangan kepada umum.
Menurut Watie, walau apapun perubahan yang dapat dilihat pada tubuh badannya ketika ini, dia berharap agar semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat dirinya.

“Selepas melalui fasa yang menyayat hati sebelum ini, saya bukannya tak mahu memberikan komen. Cuma saya mohon semua pihak untuk mendoakan yang terbaik buat saya.
“Apa sahaja yang anda nampak ada pada tubuh saya ini, doakanlah saya sihat. Kita tunggu sahaja jika ada sebarang pengumuman pada masa akan datang.
“Pada waktu sekarang, saya belum bersedia untuk mendedahkan apa-apa. Saya tidak menidakkan apa-apa dan jika mengiyakan pun, doakanlah yang baik-baik,” katanya kepada MH.
Watie berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi terbaharu jenama pakaian She Dazzle di Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anak-Anak Jadi Sumber Kekuatan
Jelas Watie, dia masih trauma dan tidak dapat melupakan insiden keguguran yang pernah dialami sebelum ini.

“Saya masih lagi trauma dengan insiden lepas. Jadi, saya ambil langkah berjaga-jaga dan jadikan pengajaran. Peristiwa itu sangat memberikan kesan kepada saya sehingga sekarang.
“Ia sentiasa membuatkan saya teringat-ingat. Walau ada berita baik sekali pun, ia buat saya rasa trauma setiap hari. Ada kalanya saya tertanya-tanya, ada ke rezeki saya lagi selepas ini?
“Sebab itu saya rasa takut untuk berkongsi. Namun, saya tidak mahu menidakkan kerana kata-kata itu merupakan satu doa. Kalau kita cakap tiada, takut Allah betul-betul ambil nanti,” ujarnya lagi.
“Bagaimanapun, Watie bersyukur kerana anak-anak tirinya menjadi sumber kekuatan untuk melawan rasa trauma tersebut.
“Saya dapat atasi perasaan trauma itu selepas melihat anak-anak. Allah belum beri rezeki kerana mungkin saya belum menjadi ibu yang baik untuk anak-anak sedia ada.
“Ada kalanya, saya juga ada salah dan silap dari segi percakapan atau cara mendidik. Jadi, mungkin Allah ambil kandungan saya itu kerana saya belum mampu menjadi ibu yang sempurna kepada anak tiri dan anak sendiri.
“Mungkin Allah mahu saya lebih menghargai anak-anak yang sudah ada. Ada kalanya mood kita tak okay. Bila ada perkara yang saya tak dapat kawal atau tertinggi suara dengan anak, malamnya saya akan menangis.
“Jika kandungan selepas ini menjadi, saya harap saya dapat jadi ibu yang lebih baik,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Watie turut memaklumkan sekiranya dia diberikan rezeki untuk kembali hamil, dia akan merahsiakannya terlebih dahulu daripada pengetahuan anak-anak kerana tidak mahu mereka bersedih jika berlaku perkara yang tidak diingini.

“Kali ini, jika saya benar-benar hamil, saya akan rahsiakan dahulu daripada anak-anak. Jika ada sesuatu perkara sedih yang berlaku kepada saya, saya tak boleh hadap bila anak-anak sedih sekali.
“Saya boleh mengawal kesedihan diri sendiri. Namun, bila saya melihat kesedihan orang lain terutamanya anak-anak, agak berat untuk saya atasinya,” akhirinya.
Pada Mei lalu, kandungan Watie dilaporkan mengalami keguguran dan insiden itu masih menghantuinya hingga kini.
Sekadar informasi, Watie dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Shuib memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama bersama penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




