“Doakan Moga Fasa Baharu Dalam Kehidupan Kami Dipermudahkan,” – Ernie Kini Isteri Syamel, Ucap Terima Kasih Atas Doa Positif Ramai

Share

Pasangan penyanyi, Syamel, 28, dan Ernie Zakri, 29, kini sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Puncak Alam, Puncak Alam, Selangor, jam 10.30 pagi, hari ini.

Sama cantik sama padan, pasangan tersebut dinikahkan juru nikah, Ustaz Zainal dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Zakri Ahmad.

Pada majlis itu, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly menyerahkan mas kahwin RM300 dan seutas gelang tangan berlian beserta lima dulang hantaran.

Manakala pihak Ernie membalas dengan tujuh dulang.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri menjelaskan, majlis diadakan secara tertutup dengan dihadiri 20 ahli keluarga sahaja bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dengan mematuhi SOP ditetapkan. Terima kasih atas doa semua dan sokongan diberikan kepada saya dan suami.

“Doakan semoga fasa baharu dalam kehidupan kami ini juga dipermudahkan,” katanya yang mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos tahun lalu.

Sejurus majlis itu, Ernie dan Syamel diraikan pada majlis tertutup yang diadakan di sebuah resort persendirian di Serendah juga secara tertutup membabitkan keluarga kedua belah pihak sahaja.

Majlis itu dikendalikan perancang perkahwinan The Wedding Herritage (TWH) bertemakan Melayu Klasik.

Difahamkan pasangan tersebut mulai rapat selepas terbabit dalam program Duo Star terbitan Astro pada 2017 dan mereka menjadi pasangan duet selain menjuarai program berkenaan.

Mereka kemudiannya muncul dengan single duet, Aku Cinta dan memenangi trofu Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) pada 2018.

IKLAN