
Usahawan yang juga personaliti media sosial, Diva M atau Mohd Muzakir mengakui keputusan untuk kembali kepada fitrah asal sebagai lelaki dibuat atas kerelaan hati sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Menurutnya, keinginan untuk berubah mula hadir sejak awal tahun 2023 selepas melalui pelbagai fasa kehidupan yang membuatkannya memilih untuk mencari ketenangan hidup.
“Tak ada sesiapa yang suruh saya berubah atau paksa saya buat keputusan ini. Semua datang daripada hati sendiri.
“Saya rasa mungkin sudah sampai waktunya untuk kembali kepada kehidupan yang lebih tenang,” katanya.
Menurut lelaki berusia 37 tahun ini lagi, dia juga tidak pernah mendapatkan nasihat daripada mana-mana ustaz untuk melakukan perubahan tersebut.
Sebaliknya, dia lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan berdoa agar diberikan petunjuk ke jalan yang benar.
“Saya cuma doa dalam solat supaya Allah tunjukkan jalan yang betul sebab saya sedar banyak perkara yang saya buat sebelum ini sebenarnya salah.
“Jadi perubahan ini memang datang daripada kesedaran diri sendiri,” ujarnya yang meluahkan rasa syukur kerana tidak pernah menjalani pembedahan membuang alat kelamin walaupun sudah lama hidup sebagai ‘mak nyah’.
“Saya sangat bersyukur sebab tak buat perkara sampai tahap yang tak boleh diubah semula. Alhamdulillah saya masih ada yang original,” katanya.
Dalam pada itu, Diva M turut berkongsi, dia sebenarnya sudah mempunyai sifat lembut sejak kecil.
Manakala implan payudara pula dipakai sekitar 15 tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk membuangnya tahun lalu.
Akuinya, keputusan tersebut dibuat selepas dia mula berasa tidak selesa dengan diri sendiri selain mengalami mimpi yang memberi kesan mendalam terhadap kehidupannya.
“Ketika itu saya rasa macam ada sesuatu yang tak kena dan saya jadi tak selesa dengan keadaan diri sendiri. Saya juga pernah mimpi meninggal dunia dalam keadaan benda itu masih ada pada badan saya.
“Daripada situ saya terus ambil keputusan untuk buang implan dan berdoa supaya Allah permudahkan perjalanan hidup saya untuk berubah menjadi insan lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, keluarganya tidak mengetahui mengenai pembedahan membuang implan tersebut sehinggalah dia pulang ke rumah dalam keadaan masih mempunyai kesan jahitan di dada.
“Saya memang tak rancang nak beritahu keluarga awal-awal. Bila balik rumah, saya terus tunjuk dekat mak saya yang jahitan itu masih ada.
“Mula-mula mak macam tak percaya. Lepas itu dia peluk saya sambil menangis. Saya masih ingat dia cakap, ‘Ya Allah anak aku’. Waktu itu saya pun sedih juga,” katanya.
Mengakhiri perkongsiannya, Diva M menjelaskan dia tidak berniat untuk mempengaruhi sesiapa melalui perubahan yang dilakukan.
“Sebaliknya, dia hanya mahu berkongsi realiti kehidupan sebenar yang pernah dilalui.
“Saya bukan nak suruh orang ikut atau jadikan ini sebagai content marketing. Saya cuma nak berkongsi realiti hidup saya. Semua orang pernah buat silap dan tersalah jalan sebab kita semua manusia,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini