Penyanyi senior, Ramlah Ram mengimbau kembali antara momen yang sukar dilupakan saat berdepan peminat fanatik sepanjang lebih tiga dekad dalam dunia seni.

Situasi apabila berdepan dengan hal yang dibayangkan seperti ada unsur mistik, diekori sehingga rumah dan mengaku sebagai suami menjadi antara kenangan yang sukar dilupakan.

Jelas penyanyi berusia 55 tahun ini kepada MH, dia pernah menerima hadiah misteri berupa labu sayong yang ditutup dengan kain kuning daripada peminat.

“Memang banyak gelagat peminat yang saya ingat sehingga ke hari ini. Dahulu pernah kecoh ada dakwaan mengatakan saya sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Isu tersebut diperkatakan gara-gara individu tersebut melayangkan surat kepada syarikat media dan mengaku sebagai suami saya. Kecoh jadinya.

IKLAN

“Malah, ada juga yang menunggu saya di kampung, singgah di rumah dan ada yang akan mengelilingi rumah setiap petang dan tidak jemu menghantar bunga,” kata Ramlah.

Dia pada masa sama turut berterima kasih dan menghargai setiap apa item yang diberi peminat kepada dirinya.

IKLAN

“Bila bercerita mengenai hadiah yang diterima pula, saya sangat hargai pemberian peminat dan sebab itu saya akan bawa pulang ke rumah walau sekecil mana pun.

“Bagaimanapun apa yang masih saya ingat, bila buka hadiah di rumah, saya lihat ada pemberian labu sayong yang bertutup dengan kain kuning. Disebabkan takut, saya tak jadi nak buka.

IKLAN

“Tak tahulah pula kalau ia ada unsur mistik atau sebaliknya. Tapi kenangkan ia seperti menyeramkan, paling tidak saya percaya kerana ia memang ada dalam budaya kita.

“Selalunya saya hanya akan amalkan ayat-ayat Al-Quran untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT,” akuinya.

Dalam perkembangan lain, Ramlah Ram baru sahaja melancarkan single berjudul Masar Cinta ciptaan Allahyarham Suzaimi Soaib.

https://www.youtube.com/watch?v=Wo71_uGj7L8

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI