Berita

Dilabel Tiada Bakat Dalam Nyanyian, Elizabeth Tan Terharu Ada Netizen ‘Back-Up’ – “Saya Tidak Akan Berhenti Menyanyi, Suka Menulis Lagu.”

Share

Penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan menerima dengan hati yang terbuka susulan tular hantaran seorang individu yang merasakan dirinya tidak mempunyai bakat dalam dunia nyanyian.

Menurut Elizabeth, meskipun dirinya tidak mempunyai kemampuan vokal seperti penyanyi-penyanyi lain, dia tetap percaya dirinya mempunyai tone suara yang unik dan menjadi identiti tersendiri dalam industri muzik.

“Nasib baik dia tidak kutuk lakonan saya. Mungkin itu akan buat saya lebih tertekan. Saya memang bekerja keras untuk kerjaya lakonan saya.

“Bab nyanyian pula, saya tak pernah bagitahu yang saya pandai menyanyi. Tak pernah sekali pun saya mengaku hebat. Saya tak pernah masuk kelas vokal atau jalani latihan sebagai penyanyi.

“Saya merasakan tone suara saya agak unik dan istimewa. Bila anda dengar suara saya di radio, automatik anda tahu itu adalah suara Elizabeth Tan.

“Saya bangga dengan perkara itu. Saya tidak akan merendahkan diri saya. Tak semua orang ada semua itu. Dari segi teknik, saya sedar diri,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Semua Sudah itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pengenalan pelakon filem Pemuja Syaitan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Elizabeth menegaskan komen-komen seperti itu tidak akan mematahkan semangatnya.

Sebaliknya, dia kini dalam perancangan untuk melancarkan album terbaharu tidak lama lagi.

“Saya tidak akan berhenti menyanyi. Saya suka menulis lagu. Saya suka menyanyikan lagu yang sesuai dengan suara saya. Tidak lama lagi saya akan lancarkan album terbaharu saya.

“Album itu bakal memuatkan enam sehingga lapan lagu yang ditulis sendiri oleh saya. Ini adalah kali pertama dan karya yang berbeza daripada lagu-lagu saya yang terdahulu.

“Genrenya akan lebih akustik, Indonesian soul dan R&B. Saya sangat gemuruh kerana saya tidak pernah menghasilkan lagu-lagu seperti ini. Ini juga luahan hati saya,” kongsinya lagi.

Terharu Sokongan Netizen Netizen

Dalam masa sama, Elizabeth mengakui terkejut dan tersentuh selepas melihat komen-komen netizen yang mempertahankan dirinya di posting yang tular itu.

“Saya sangat terkejut bila membaca komen-komen netizen. Sebenarnya saya takut nak baca komen. Saya ingatkan orang akan membenci saya.

“Sepanjang bergelar anak seni, saya sudah terbiasa menerima komen-komen kebencian. Bila saya baca komen di hantaran itu, majoritinya adalah positif.

“Mereka mempertahankan saya. Mereka memberikan saya semangat untuk teruskan bekarya di dalam bidang ini. Saya sebenarnya ada banyak momen untuk berputus asa.

“Saya rasa tidak layak untuk dapat perhatian seperti ini. Saya terharu bila ada yang kata lagu-lagu saya membantu mereka mengharungi fasa-fasa hidup,” kongsinya lagi.

Katanya lagi, disebabkan hantaran ini, Elizabeth kini sedar bahawa peminat masih lagi menyokong dan menghargai karya-karyanya sebagai penyanyi.

“Saya patut berterima kasih kepada individu itu. Disebabkan dia, kini saya tahu yang saya ini masih punyai sokongan dan disayangi ramai.

“Sejujurnya saya memang tak tahu kerana saya ingatkan orang tak suka saya. Saya rasa nak menangis. Saya tersentuh,” akhirinya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf