
Penyanyi Rayme Zainal yang kini aktif sebagai penganjur acara, memilih untuk menguruskan sendiri setiap penganjuran karnival selepas serik berdepan pengalaman ditipu rakan kongsi serta segelintir pihak yang mengambil kesempatan.
Mengambil pendekatan baharu sebagai ‘one man show’, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Andai itu kini lebih selesa mengendalikan sendiri operasi karnival bagi mengelakkan masalah berulang, khususnya membabitkan urusan pembayaran dan dokumen perjanjian.
Rayme, 47, mendakwa, ketika berdepan insiden berkenaan sebelum ini, dia memilih jalan tengah dan bersedia menyelesaikan segala isu yang timbul.
Namun, dia kecewa apabila terdapat pihak yang gagal memberikan kerjasama selepas karnival berakhir.
“Saya pernah memberikan kepercayaan kepada individu lain untuk menguruskan beberapa perkara, tetapi akhirnya saya pula yang terpaksa berdepan dengan masalah pembayaran, komitmen kepada pihak lain dan perkara berkaitan perjanjian.
“Apabila acara sudah selesai, ada pihak yang sepatutnya bersama-sama menyelesaikan masalah tetapi memilih untuk menghilangkan diri. Pengalaman itu memang memberi pengajaran yang sangat besar kepada saya.
“Sebab itu sekarang saya lebih berhati-hati dan memilih untuk memantau sendiri setiap aspek penganjuran khususnya kewangan, pembayaran, vendor dan dokumentasi.
“Penat memang penat, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu apa yang berlaku dan setiap tanggungjawab dapat saya pastikan diselesaikan dengan baik,” katanya.
Rayme berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 X Festival Budaya Malaysia di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Baca Artikel Lain;
“Apa pun, saya tak serik menjadi penganjur acara, cuma belajar untuk tidak terlalu mudah memberikan kepercayaan.
”Dalam industri ini, kita berurusan dengan ramai pihak termasuk vendor, kontraktor, artis dan agensi, jadi semuanya perlu jelas dari awal,” katanya lagi.
Sementara itu, syarikatnya, Raydiates Blue Sdn. Bhd. akan mengendalikan AMFF 2026 selama enam hari bermula 11 September ini.
Ia akan menghimpunkan pelbagai pelbagai aktiviti berteraskan gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta program komuniti dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Bertemakan ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’, festival dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu mengekalkan makanan sebagai tunjang utama, namun diperluaskan kepada pengalaman gaya hidup moden yang lebih interaktif.
Ia bakal menghimpunkan lebih 80 vendor menawarkan pelbagai aktiviti berteraskan gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta program komuniti dalam satu platform yang meraikan kepelbagaian Malaysia.
Sejak dua tahun lalu, Rayme beralih ke bidang perniagaan apabila memilih menjadi penganjur acara, bermula dengan penganjuran Anjung Syawal Putrajaya yang mencetuskan fenomena menerusi kehadiran lebih sejuta pengunjung.
Selain beberapa acara besar lainnya, Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta 2025 turut dianjurkan di samping acara Fun Run dengan penyertaan hampir 1,000 peserta hasil kerjasama bersama Anytime Fitness Hampshire dan SimplySiti serta kemunculan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bagi pembuka tirai 2026, Gema Raya Putrajaya 2026 pula dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue dengan kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Berkongsi kerjaya seninya pula, Rayme merancang untuk tampil dengan single baharu pada bulan depan.
Dia yang pernah menyertai pertandingan realiti TV All Together Now pada 2022 itu menjelaskan, proses rakaman karya ciptaannya sendiri telah selesai pada Ogos lalu, selain menampilkan penulis lirik dari Indonesia, Choky.
“Saya merancang untuk menghasilkan lagu duet bersama Didie Shazry yang juga juara Raise The Star Malaysia 2025, di mana ketika ini kami dalam proses pemilihan lagu.
“Saya mengenali Didie sudah lama dan sejak dia menuntut di universiti di mana kami pernah muncul bersama di atas pentas membuat persembahan duet dan solo,” katanya.
Selain Andai, Rayme pernah menghasilkan dua single berbahasa Inggeris, Closed To You yang popular di platform penstriman muzik Spotify dan pernah menduduki tangga kelima carta Lokalah Charta Show di stesen radio Rakita, selain Matter Of Time.
Rayme juga dikenali dengan gelaran ‘raja single raya’ menerusi empat lagu iaitu Rindu Di Hari Raya, Selamat Hari Raya, Raya Sebenarnya bersama penyampai Suria FM, Cik Piah, serta Gema Raya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.