Nama penyanyi dan penulis lagu, Sienna Spiro kini semakin mendapat perhatian peminat muzik global selepas kejayaan single hits, Maybe yang merekodkan lebih 125 juta penstriman di seluruh dunia.
Bintang berusia 20 tahun yang berasal dari London, United Kingdom ini turut mencipta sensasi apabila terpilih sebagai Vevo DSCVR Artists To Watch 2026.
Malah dia pernah mencuri perhatian menerusi EP sulungnya Sink Now, Swim Later yang dilancarkan pada awal 2025.
Teknik nyanyian yang penuh soulful, emosi dan penceritaan lirik yang jujur membuatkan Sienna diberi jolokan ‘New Adele’ oleh peminat muzik gen-z.
Ads
Kian Cipta Fenomena Di Malaysia
Sienna kian mencipta fenomena luar biasa di negara ini apabila single terbaharunya Die On This Hill bukan sahaja trending di media sosial dan menjadi lagu pilihan untuk cover oleh artis tempatan seperti Yazmin Aziz, Julia Duclos dan Elica Paujian.
Malah, lagu terbitan Capitol Records ini turut mendapat pujian daripada pelakon popular Diana Danielle dan Siti Hariesa yang menyifatkan penceritaan lagu ini sangat dekat dengan jiwa mereka.
Ads
Die On This Hill merupakan kesinambungan lagu ‘You Stole the Show’ yang sebelum ini turut menerima pujian media antarabangsa.
Menurut Sienna, lagu ini mengisahkan tentang seorang yang degil dan sanggup melakukan apa sahaja untuk orang yang dicintainya walaupun sedar dia seharusnya sudah lama pergi.
Ads
Lagu ini mendapat sentuhan penerbit tersohor iaitu Omer Fendi, Michael Pollack dan Blake Slatkin, yang pernah menghasilkan karya untuk Miley Cyrus, Lady Gaga, SZA dan Sam Smith.
Sambutan luar biasa peminat Malaysia turut menyaksikan lagu ini menembusi carta utama dengan kedudukan #12 Spotify Top 50 Malaysia dan #41 Spotify Top 50 Global.
Ia gus membuktikan karya Sienna bukan sahaja mendapat tempat di peringkat antarabangsa, malah berjaya menawan pasaran Asia Tenggara khususnya Malaysia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Selepas melalui pelbagai fasa perjalanan seni, girl group tempatan, XONE akhirnya tampil membuka lembaran seterusnya menerusi pelancaran single dan muzik video terbaharu mereka bertajuk Eyes On Meyang menandakan penjenamaan semula kumpulan itu.
Dianggotai Nelysa Kay dan Ellya Keesha, karya berkenaan menjadi simbol kematangan serta evolusi peribadi yang dilalui mereka sebagai anak seni. Bagi Nelysa, 22, yang juga merupakan naib juara Dewi Remaja 2025, single ini bukan sekadar memperkenalkan bunyi dan visual baharu, malah membawa makna besar dalam perjalanan XONE.
Menurutnya, setiap fasa yang dilalui kumpulan itu berkembang seiring pengalaman hidup dan proses kematangan mereka sendiri.
“Apabila kami melangkah ke era baharu ini, kami membuat keputusan untuk memperkenalkan konsep segar sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula XONE. Setiap era berkembang bersama perjalanan peribadi kami dan tahap kematangan yang semakin berubah,” katanya kepada Media Hiburan.
Tambah Nelysa, lagu tersebut dicipta berteraskan sifat muzik XONE yang bersifat lebih menarik perhatian, dengan harapan pendengar akan terus terpaut dan ingin mengikuti perjalanan mereka dalam fasa baharu ini.
“Kami mahu muzik ini menjadi pintu masuk yang membuatkan orang ‘tak boleh berpaling’ apabila XONE bergerak ke hadapan,” sambungnya.
Menariknya, pelancaran muzik video XONE telah dilakukan pada hujung tahun 2025, berdekatan dengan tarikh ulang tahun kelahiran mereka iaitu Nelysa Kay pada 30 Disember dan Ellya Keesha pada 31 Disember. Tradisi ini menjadikan setiap karya terasa lebih peribadi dan bermakna.
“Setiap projek itu terasa seperti hadiah hari jadi yang kami berikan kepada diri sendiri. Ia adalah satu perayaan terhadap kerja keras, dedikasi dan perkembangan kami sepanjang tahun,” jelasnya.
Mengulas pembikinan muzik video pula, Nelysa memaklumkan projek tersebut merupakan karya rasmi pertama XONE yang dihasilkan sepenuhnya secara independen. Tanpa jalan cerita yang berat, XONE memilih pendekatan visual berbentuk statement bagi menandakan kemunculan semula mereka.
Konsep bandar waktu malam dengan sentuhan gaya fesyen era 1990-an hingga awal 2000-an dipilih, selari dengan minat mereka terhadap dunia fesyen.
“Kami memang suka bereksperimen dengan fesyen, jadi kami mulakan muzik video ini di sebuah bilik pereka fesyen yang melambangkan proses kami membentuk versi baharu diri kami sebagai XONE,” katanya.
Idea tersebut kemudiannya diperkemaskan oleh pengarah BukanPyqul dengan suntikan visual efek kreatif, termasuk babak MRT ikonik yang diinspirasikan oleh jenama tempatan TURBO, kemunculan seekor kucing kecil di awal video serta elemen VFX yang direka sepenuhnya dari awal oleh artis tempatan, Minimal.
Dalam masa sama, XONE turut berbangga apabila keseluruhan produksi muzik video tersebut digerakkan 100 peratus oleh bakat tempatan, daripada produksi lagu, koreografi, penggambaran, suntingan sehinggalah visual efek.
“Malaysia penuh dengan bakat luar biasa. Kami berharap muzik video ini dapat membuka mata dan menggalakkan lebih ramai orang menyokong penggiat seni tempatan,” katanya. Projek ini turut mendapat sokongan jenama tempatan TOMAZ dan TURBO, selain XONE sendiri.
Kemunculan empat finalis Dewi Remaja 2025 dalam muzik video ini turut mencuri perhatian penonton. Menurut Nelysa, penggambaran dilakukan hanya sehari selepas malam finale, manakala keputusan membawa masuk cameo dibuat pada saat akhir oleh pengarah.
Namun, sokongan rakan-rakan seperjuangan hadir tanpa ragu apabila Nylea, Elisa Chew, Teya B dan Ariana Ryry tampil membantu menyerikan lagi muzik video berkenaan walaupun masing-masing keletihan selepas jadual padat.
Secara keseluruhan, kemunculan semula XONE menerusi karya terbaharu ini memperlihatkan keyakinan baharu Nelysa dan Ellya Keesha dalam mengemudi perjalanan seni mereka.
Imbas kembali, bakat yang dimiliki oleh duo XONE ini bukanlah calang-calang, mereka pernah tercalon dalam senarai top 5 Artis Baharu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) menerusi lagu terdahulu mereka, Lantaklah.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Nama penyanyi Rayme Zainal pernah mencuri perhatian sebagai selepas melancarkan beberapa buah single selain pernah menjadi antara peserta program realiti, All Together Now Malaysia, empat tahun lalu.
Bagaimanapun kini, Rayme mulai melakar fasa baharu dalam kerjaya apabila semakin serius mengukuhkan kedudukan sebagai penganjur acara berprofil tinggi, sekali gus membuktikan kebolehan anak seni menguasai dunia perniagaan.
Walaupun memiliki portfolio karier dalam dunia seni, Rayme Zainal mengakui dia kini mahu memberikan lebih tumpuan kepada cabang rezeki lain pula.
Dia yang popular menerusi lagu Andai dan Close To You itu mendedahkan, kerjaya sebagai pengurus acara atau ‘EO’ menerusi syarikat miliknya iaitu Raydiates Blue Sdn. Bhd menjanjikan jaminan pendapatan tetap selain memiliki masa depan industri yang cerah di negara ini.
Tahun lalu misalnya, Raydiates sukses mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal iaitu sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025.
Acara tersebut difahamkan telah berjaya mencetuskan fenomena dengan menawarkan pelbagai pilihan produk pada harga berpatutan, sekali gus menarik lebih 1 juta pengunjung sepanjang 32 hari beroperasi.
Raydiates pada tahun lalu juga sibuk menganjurkan beberapa acara besar lain seperti Anjung MalaysiaKu Foodie Fiesta 2025 bersempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 selama lima hari di perkarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malah aktiviti Fun Run juga menjadi bualan, selain kemunculan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada acara tersebut.
Bagi pembuka tirai 2026, Rayme turut bersedia menganjurkan Gema Raya Putrajaya 2026@PICC yang bakal melakar sejarah sebagai festival raya terbesar pertama apabila bakal dianjurkan di puncak tertinggi Putrajaya bermula 15 Februari depan selama 33 hari.
Jelas Raymie, pihaknya optimis mahu melangkah lebih jauh apabila menyasarkan penganjuran acara bertaraf nasional pada skala besar bermula tahun ini dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan di negara ini.
Langkah ini juga bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui penganjuran festival seni dan budaya pada tahun ini dengan sokongan daripada agensi kerajaan dan dengan kolaborasi bersama sektor korporat.
Festival ini menggabungkan keusahawanan, seni budaya, program kerohanian dan inisiatif kebajikan komuniti, dengan penyertaan hampir 300 vendor dan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.
Ia sekali gus mengangkat Putrajaya sebagai destinasi utama Ramadan dan Raya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Putrajaya.
“Sejajar dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), pihak kami berharap akan memperluas kerjasama strategik bersama kementerian, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti kreatif.
“Ia bagi menjadikan acara-acara anjuran syarikat sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan, pemerkasaan usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta platform pembangunan bakat belia dan kandungan kreatif berimpak tinggi di Malaysia dan peringkat antarabangsa,” katanya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dunia hiburan dan media sosial Indonesia dikejutkan dengan pemergian pempengaruh terkenal dan pelakon, Lula Lahfah, yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 26 tahun di sebuah unit apartmen di kawasan Dharmawangsa, Jakarta Selatan, pada 23 Januari 2026.
Pihak Polis Metro Jaya mengesahkan arwah ditemui dalam keadaan tidak bernyawa ketika pemeriksaan dilakukan di kediamannya. Menurut kenyataan polis, ketika ditemui, tubuh Lula berada dalam keadaan kaku dan terdapat beberapa kesan lebam kebiruan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan kesan tersebut belum boleh disimpulkan sebagai unsur jenayah kerana ia berkemungkinan berkait dengan proses semula jadi selepas kematian.
Polis turut memaklumkan bahawa Lula sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan pernah mendapatkan rawatan perubatan beberapa minggu sebelum kejadian.
Sehubungan itu, siasatan lanjut termasuk pemeriksaan tempat kejadian serta prosedur forensik masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Lula dikenali sebagai antara pempengaruh muda Indonesia yang memiliki pengaruh besar di media sosial, khususnya menerusi kandungan berkaitan gaya hidup, kecantikan dan muzik.
Kerjayanya bermula sebagai penyanyi dengan memuat naik rakaman nyanyian di SoundCloud sebelum namanya melonjak sebagai personaliti digital dengan jutaan pengikut di Instagram dan TikTok.
Walaupun dilaporkan kurang sihat, arwah masih aktif berkongsi kandungan di media sosial sehingga beberapa hari sebelum pemergiannya, sekali gus menimbulkan rasa terkejut dalam kalangan peminat dan rakan industri.
Pemergian Lula turut memberi kesan mendalam kepada pasangan hidupnya, Reza Oktovian, yang juga merupakan anggota kumpulan muzik elektronik terkenal Weird Genius. Difahamkan, beberapa komitmen seni Reza terpaksa dibatalkan susulan tragedi tersebut.
Imbas kembali, selain bergelar seorang influencer, Lula juga bergelar seorang pelakon dan membintangi beberapa filem seperti Total Chaos, The Underdogs dan Harusnya Horror. Selain itu beliau juga pernah muncul dalam muzik video Raffi Ahmad bertajuk Menerka-Nerka 2.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Bersempena dengan bulan Ramadan tahun ini, P-Circle bersama Nuansa Sdn Bhd menampilkan sebuah drama vertikal berjudul My Ramadan Love Story yang mengangkat kisah cinta...