
Penyanyi Syasya Rizal kini membuka lembaran baharu dalam perjalanan karier muzik solonya menerusi pelancaran single sulung yang berjudul ‘Different’.
Lagu berkenaan menjadi titik permulaan penting buat Syasya yang kini tampil dengan versi diri yang lebih matang, yakin dan berdikari sebagai artis solo.
Dicipta dan ditulis bersama barisan komposer terkenal iaitu Amirul Azhar, Asyraf Nasir, Adib Hamdi, Naim Daniel serta Syasya Rizal sendiri, Different mengetengahkan sentuhan pop yang segar tanpa menghilangkan identiti yang pernah memikat hati peminat sebelum ini.
Menerusi lagu tersebut, Syasya turut menyampaikan mesej pemerkasaan diri bahawa setiap individu berhak mengejar impian tanpa perlu bersaing atau membandingkan diri dengan orang lain.
“Bila pertama kali masuk ke studio bersama Amirul, saya beritahu dia bahawa saya mahu buat muzik yang apabila orang dengar, mereka terus tahu, ‘Oh, ini Syasya.’
“Elemen tenaga dan muzik yang orang kenal sebelum ini masih ada, cuma kali ini saya tampil dengan fasa kehidupan dan pengalaman yang baharu. Same Syasya, just a different chapter,” katanya.
Tambah Syasya, single berkenaan merupakan karya yang sangat peribadi kerana ia mencerminkan perjalanan hidupnya yang kini berkembang sebagai seorang isteri dan ibu, namun dalam masa sama terus berusaha mengejar impian dalam industri muzik.
“Saya mencurahkan sepenuh hati dalam lagu ini. Mesej utamanya sangat ringkas, saya di sini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk membina laluan saya sendiri.
“Fasa ‘motherhood’ atau perkahwinan bukanlah penghalang untuk seorang wanita berhenti mengejar impian.
“Keutamaan kita mungkin berubah, tetapi impian tidak perlu dipadamkan.
“Saya berharap lagu ini dapat memberi peringatan kepada wanita di luar sana bahawa anda boleh terus membesar, berubah, dan mengejar impian yang membuatkan anda berasa hidup,” katanya lagi.
Mengulas mengenai proses pembentukan lagu itu, Syasya bersyukur kerana berpeluang bekerjasama dengan pasukan produksi yang sentiasa memberi sokongan, lebih-lebih lagi apabila ini merupakan pengalaman awalnya dalam penulisan lagu.
“Meskipun saya masih baharu dalam bidang penulisan lagu, mereka sangat terbuka mendengar idea dan pandangan saya.
“Suasana kerja yang selesa dan saling menghormati membolehkan saya lebih berani untuk menyuarakan apa yang saya inginkan secara kreatif.
“Semua orang mahukan yang terbaik untuk lagu ini, dan daripada situlah lahirnya ‘Different’,” tambahnya.
Baca Artikel Lain;
Syasya berharap Different bukan sahaja dapat menghiburkan para pendengar, malah menjadi hadiah bermakna buat peminat yang setia menantikan kemunculannya sebagai penyanyi solo.
“Saya berharap para pendengar dapat menikmati tenaga lagu ini, menari bersama, dan memahami mesej di sebaliknya.
“Untuk semua yang telah sabar menanti saya mengeluarkan lagu solo, terima kasih atas kesabaran anda. Insya-Allah, ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi perkara menarik yang akan datang,” katanya.
Single Different kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.