
Pelakon Amyza Aznan memaklumkan suaminya, Khairil Izhar, masih lagi ditidurkan dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU), Hospital Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Amyza memberitahu ekstubasi suaminya kini telah dikurangkan, selain menunjukkan perkembangan positif apabila sudah boleh membuka mata dan menggerakkan tangan.
“Keadaan suami saya masih ditidurkan lagi cuma doktor sudah kurangkan kadar ekstubasi. Kini dia sudah boleh buka mata dan ada pergerakan tangan.
“Ketika ini, doktor tak boleh nak turunkan kadar ekstubasi 100% kerana jantungnya lemah. Kini, suami saya masih lagi dirawat di CCU, Hospital Kuala Lumpur,” katanya kepada MH.
Amyza berkata demikian ketika ditemui pada konsert minggu kedua Kilauan Emas Selebriti (KES) yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Sabtu.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut memaklumkan, suaminya kini dijaga sepenuhnya oleh pihak hospital, manakala dia memberi tumpuan kepada urusan di rumah, komitmen kerja serta rawatan anak keduanya, Adrian Adam yang turut berdepan ujian kesihatan.
Tambah Amyza, penyertaannya dalam program KES tidak mengganggu jadual kerana sesi latihan dan kelas berlangsung dalam tempoh yang singkat.
“Di CCU tak boleh ada yang menjaga. Jika nak melawat pun ada waktunya. Ketika ini, jururawatlah yang menjaganya secara keseluruhan.
“Jadual saya agak padat lebih-lebih lagi dengan sesi rawatan Adrian. Saya juga kena fokus hal di rumah dan kerja-kerja lain.
“Jadual di KES ini tiada masalah pun. Kelas kami sekejap sahaja. Namun, hal lain dan urusan melibatkan Adrian itu yang mengambil waktu yang agak panjang.
“Lagipun, di hospital ada jururawat dan doktor yang memantau,” kongsinya lagi.
Ditanya bagaimana dia mampu terus memberi komitmen dalam pertandingan KES meskipun sedang berdepan ujian berat, Amyza menegaskan mahu kekal profesional dan menghormati komitmen semua pihak yang terlibat.
“Sejak uji bakat lagi, pihak produksi sudah bertanya bagaimana dengan jadual saya terutamanya melibatkan hal keluarga jika dipilih masuk ke KES.
“Pada saya, bila bekerja, kita kena profesional. Kalau nak kata ujian dan rasa sedih, orang lain juga ada ujian dan kesedihan sendiri. Kita tak boleh pentingkan diri sendiri.
“Kita bekerja dengan ramai orang dan mereka semua mencari rezeki. Kita perform dan buatlah kerja dengan betul.
“Takkan pula kita nak suruh semua orang ikut sedih dan murung dengan kita. Itu tidak betul. Kita kena bertimbang rasa,” akhirinya.
Pada 23 Ogos lalu, Khairil dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas dilaporkan mengalami masalah kesihatan yang serius.
Amyza sebelum ini memaklumkan suaminya terpaksa ditidurkan susulan mengalami paru-paru berair dan tekanan darah tinggi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.