“Dia Ibu Yang Kuat,” – Proses Pembedahan Berjalan Dengan Baik, Nabil Mahir Syukur Nikmat Dapat Tatap Wajah Anak Sulung

Share

Hos Nabil Mahir meluahkan rasa teruja sekali gus akui dia hilang kata-kata kerana akhirnya dapat menatap wajah anak pertama apabila isterinya yang juga penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat selamat melahirkan bayi perempuan, semalam.

Menurut Nabil, sepanjang proses kehamilan juga bayi sulung merekaselalu memberikan maklum balas yang positif.

“Saya sering bercakap ketika dia masih dalam perut ibunya dan dia selalu memberikan respon yang baik. Syukur dapat bertemu dengannya.

“Doakan semoga Ayda dan puteri sulung kami diberikan kesihatan yang baik,” katanya, memetik Harian Metro.

Dia pada masa sama turut memaklumkan Ayda berada dalam keadaan yang baik selepas menjalani pembedahan melahirkan bayi mereka.

“Semuanya baik-baik saja. Lagipun proses pembedahan berjalan dengan cepat. Cuma sekarang dia tidak berasa selesa kerana terpaksa menahan kesakitan.

“Dia seorang ibu yang kuat. Saya tak rasa saya mampu mengalas tugasnya ketika melihat keadaan dia yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak.

“Disebabkan Ayda mengalami kontraksi dan bayi dalam keadaan songsang, jadi puteri kami perlu dilahirkan seminggu lebih awal dari tarikh yang dirancang,” katanya lagi.

Ayda yang popular menerusi lagu Mata itu selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.77 kilogram secara pembedahan di sebuah pusat perubatan, di sini, jam 7.07 malam semalam.

Pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lalu selepas mengikat pertunangan secara dalam talian pada 28 April tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

IKLAN