
Pelakon Zarif Ghazzi tampil menjelaskan mengenai adegan tidak berbaju yang dilakonkannya dalam siri Kudrat 1968: High Council, sambil menegaskan babak berkenaan dilakukan semata-mata bagi memenuhi tuntutan watak dan kehendak naskhah.
Menurut Zarif, setiap adegan yang dijayakannya akan melalui proses perbincangan bersama pengarah bagi memastikan ia selari dengan visi dan jalan cerita yang telah dirancang sejak awal.
“Saya percaya, di setiap babak-babak yang saya jayakan, sudah tentu saya akan berbincang dan bertanya kepada pengarah. Seperti semua tahu, skrip bagi naskhah ini sudah dibuat hampir setahun yang lalu.
“Jadi, demi menjaga kekemasan karya ini, saya tak boleh usik pun perkara-perkara yang sudah ditetapkan. Bagaimanapun, kita tahu setiap perkara ada batasnya.
“Sebagai pelakon, ini adalah tanggungjawab saya untuk menghidupkan watak dan jalan cerita. Jika babak itu memerlukan saya buka baju, saya akan bertanya kepada pengarah apa rasionalnya.
“Kita buka ruang berbincang. Kalau kena buka baju, saya akan buka demi menjayakan babak itu,” katanya kepada MH.
Zarif berkata demikian ketika ditemui pada acara tayangan perdana siri Kudrat 1968: High Council, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zarif mendedahkan dia turut melalui proses yang cukup mencabar apabila terpaksa menurunkan berat badan sebanyak 21 kilogram bagi mendapatkan fizikal yang sesuai dengan watak Abbas.
“Sejujurnya saya rasa sangat seksa. Selama proses nak mendapat bentuk badan tersebut, saya langsung tak makan nasi dan hanya makan ayam dan daging.
“Saya betul-betul mahu menampakkan penampilan budak sekolah yang miskin dah berusia 16 tahun. Ketika itu, saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 21 kilogram dalam masa empat bulan.
“Jika bertanya tentang siksa, saya terpaksa pergi ke hospital sebanyak tiga kali untuk periksa keadaan badan saya.
“Kata doktor, jika saya turunkan lagi berat saya pada waktu itu, ia boleh membahayakan diri,” kongsinya lagi.
Malah, demi memberikan komitmen sepenuhnya terhadap watak tersebut, Zarif mengakui dia sanggup menolak beberapa tawaran lakonan lain sepanjang menjayakan projek berkenaan.
“Saya terpaksa menolak beberapa tawaran lain ketika menjayakan naskhah ini. Watak ini sedikit sebanyak memberikan impak terhadap mental dan fizikal saya.
“Selama enam bulan, roh, otak, badan dan cara percakaapan saya hanyalah untuk Abbas. Saya tak nak hal lain mengganggu saya menjayakan projek Kudrat 1968 ini,” akhirinya.
Kudrat 1968: High Council akan ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat, jam 9.00 malam bermula 11 September ini.
Karya arahan bersama Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff itu mengandungi empat episod sebelum diteruskan menerusi format filem yang dijadualkan menemui penonton tahun ini.
Selain Zarif, naskhah berkenaan turut dibintangi barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Zamarul Hisyam, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.