Berita

Dari Pentas Ke Kafe… KRU Bakal Buka KRU Cafe Di Shah Alam, Janji Pengalaman Muzik & Nostalgia

Share

KRU, Sony Music Malaysia, Babah Ventures dan TMGV berganding tenaga merealisasikan KRU Cafe iaitu sebuah kafe bertemakan muzik dan hiburan yang dijadual dibuka di Aneka Walk, Shah Alam pada suku ketiga 2026.

Susulan kejayaan luar biasa siri konsert mereka baru-baru ini, antara kumpulan muzik paling ikonik itu melangkah ke fasa baharu dengan memperkenalkan konsep yang menggabungkan pengalaman menjamu selera dan hiburan secara imersif.

Tercetus Daripada Sokongan Peminat

Idea ini lahir apabila KRU menyaksikan sendiri semangat dan sokongan berterusan peminat terhadap muzik mereka.

Kumpulan itu berjaya menjual habis lima konsert utama di Malaysia dan Singapura, manakala lagu-lagu mereka kembali menduduki carta penstriman muzik tempatan.

Video muzik serta kandungan berkaitan turut meraih jutaan tontonan di pelbagai platform digital, membuktikan fenomena KRU kekal utuh sehingga hari ini.

Dengan keterujaan peminat yang kembali memuncak, KRU melihat peluang untuk meneruskan hubungan dengan mereka melangkaui konsert dan platform penstriman.

Lantas tercetus idea sebuah restoran tersendiri yang meraikan perjalanan muzik mereka, membangkitkan nostalgia peminat setia dan memperkenalkan legasi kumpulan itu kepada generasi baharu.

Bagi merealisasikan visi tersebut, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd selaku syarikat pengurusan kumpulan berkenaan telah menghimpunkan rakan strategik untuk menjayakan projek berkenaan.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/mereka-yang-hardcore-akan-marah-kru-belum-rancang-tarik-diri-dari-program-anugerah-hormati-perasaan-peminat/

Gabungan Kepakaran Hospitaliti & Visi Masa Depan

Di bawah kerjasama ini, TMG Ventures Sdn Bhd (TMGV), kumpulan hospitaliti yang membangunkan beberapa jenama restoran termasuk The Majapahit, akan bertanggungjawab membangunkan serta menyusun keseluruhan penawaran makanan dan minuman KRU Cafe.

Menu yang diperkenalkan dijangka menggabungkan cita rasa Asia Tenggara dengan hidangan Barat popular, termasuk sajian panggang premium dan stik bagi memenuhi selera pelbagai lapisan pelanggan.

Turut menyertai projek ini sebagai rakan strategik operasi dan pengembangan ialah Babah Ventures Sdn Bhd (BBV), syarikat di sebalik jenama Bumbu Babah.

Mengulas mengenai projek tersebut, Edry Abdul Halim teruja sekali gus menyatakan rasa syukur atas kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan oleh para peminat sepanjang beberapa dekad ini.

“KRU Cafe merupakan satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan mereka sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama,” katanya.

Malah Yusry pula berharap agar KRU Cafe dapat menjadi sebuah platform untuk mencungkil, membimbing dan mengetengahkan bakat-bakat baharu.

“Lebih daripada sekadar sebuah tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti,” katanya yang turut disokong Norman.

“Kami amat kagum dengan apa yang telah dicapai oleh Ajak dan pasukannya melalui Bumbu Babah.

“Membangunkan hampir 60 cawangan dalam tempoh kurang daripada dua tahun merupakan satu pencapaian yang luar biasa.

“Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang kami jangkakan, KRU Cafe mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu bagi Ajak Shiro mewakili Babah Ventures, peluang untuk bekerjasama dengan KRU merupakan keputusan yang mudah.

“Apabila Sony Music pertama kali membentangkan projek ini kepada kami, kami bersetuju untuk terlibat sebelum mesyuarat pertama itu pun selesai.

“Ia merupakan satu penghormatan yang amat besar buat kami untuk bekerjasama dengan KRU.

“Mereka ialah legenda negara dan antara artis muzik paling berpengaruh yang pernah dilahirkan oleh Malaysia.

“Kami teruja untuk menggabungkan legasi luar biasa mereka dengan pengalaman kami dalam membangunkan dan mengendalikan jenama-jenama restoran,” katanya.

Cawangan pertama KRU Cafe akan dibuka di Aneka Walk, Shah Alam, sebuah pembangunan gaya hidup dan placemaking oleh PKNS yang bertujuan menjadikan kawasan itu sebagai destinasi utama makanan, budaya, hiburan dan aktiviti komuniti.

Dijadual akan dibuka pada suku ketiga 2026, KRU Cafe menjanjikan lebih daripada sekadar hidangan enak.

Pengunjung bakal menikmati gabungan unik muzik, persembahan, nostalgia, pengalaman interaktif untuk peminat serta suasana meriah yang diinspirasikan oleh salah satu kumpulan muzik paling disayangi di Malaysia.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH