
Perjalanan hidup usahawan dan pempengaruh, Aleeya Zailan atau Aleeya Avenys, bukanlah sesuatu yang mudah untuk disingkap kembali.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu menganggap pengalaman membesar dalam keluarga yang berpecah-belah serta kehidupan yang serba kekurangan sebagai satu pelajaran dan pengalaman paling berharga dalam hidupnya.
Tidak lagi menoleh ke belakang, Aleeya kini melebarkan sayap ke cabang perniagaan baharu sebagai tauke barang kemas menerusi Avenys & Co.
Sebelum ini, dia terlebih dahulu mencipta nama dalam perniagaan sambal, produk penjagaan kulit dan suplemen.
“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Tapi berlian dan permata umpama teman akrab golongan wanita. Macam lagu mendiang Marilyn Monroe berjudul Diamonds Are a Girl’s Best Friend.
“Dalam erti kata lain, saya sudah mula ‘tersuka’ dan ‘terjatuh hati’ dengan barang kemas terutama berlian. Dari membeli dan mencari berlian terbaik untuk diri sendiri, akhirnya jadi geram sampai terbeli dalam kuantiti banyak.
“Kemudian suka pula batu permata. Lama- kelamaan, asyik fikir dan menikmati keindahan barang kemas, tercetus rasa serta keputusan untuk menceburi perniagaan ini.
“Lebih istimewa saya reka sendiri barang kemas yang diingini,” Katanyanya.
Isteri kepada Azri Aziz yang lebih dikenali sebagai Big Boss itu turut menambah, fokusnya kini lebih tertumpu kepada perniagaan barang kemas, iaitu sekitar 80 peratus daripada keseluruhan komitmen perniagaannya.
“Selebihnya (20 peratus) perhatian itu tetap diberikan untuk perniagaan penjagaan kulit (jenama Avenys) yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.
“Tambahan lagi, perniagaan penjagaan kulit itu sudah ibarat boleh lepas tangan kerana sudah boleh dibeli di banyak premis perniagaan termasuk Guardian dan Aeon Wellness.
“Saya pun ada hos siaran langsung di TikTok yang aktif menjual. Syukur juga jenama kebanggaan saya ini sudah dikenali, dipercayai dan mempunyai kelompok pelanggan serta peminat tegar,” Katanya.
Menurut Aleeya lagi, penglibatannya dalam perniagaan berlian dan batu permata juga didorong keinginan untuk mendidik orang ramai agar lebih bijak ketika membeli barang kemas.
“Memang kita selalu dengar ramai yang kena tipu sebab tak tahu selok belok barang kemas. Ada yang beriya-iya nak beli berlian dan permata tapi hujung – hujung, batu dicari tak berkilau selain palsu.
“Jadi untuk permulaan barang kemas saya ini dibuat secara konsep ‘made to order’ dan boleh ditempah menerusi laman sesawang,” katanya lagi.

Akaun Digodam, Wang Lesap & Cabaran Media Sosial
Dalam pada itu, Aleeya mengakui sedih apabila akaun Instagram (IG) peribadinya yang mempunyai lebih 900,000 pengikut digodam sebelum ini.
Kehilangan akaun tersebut memberi kesan besar kerana ia menjadi platform utama dalam membina jenama dan pengaruh perniagaannya.
“Menerusi IG itu juga saya perlahan demi perlahan membina jenama, meluaskan empayar diri serta pengaruh perniagaan.
“Saya ada juga usaha untuk mendapatkan akaun IG itu kembali. Tapi macam agak sukar. Akhirnya, kena reda saja. Ada juga buat akaun IG baharu, tapi berjaya kumpul sedikit saja pengikut sekitar lebih 2,000.
“Saya kini banyak guna medium Facebook dan TikTok saja. Tapi kebelakangan ini lebih kepada Facebook (Avenys) termasuk buat ‘live’ di medium berkenaan kerana banyak sangat kekangan di TikTok. TikTok perniagaan saya sendiri sudah empat kali diharamkan.
“Natijahnya sampai wang syarikat saya di bawah akaun TikTok itu pun lesap. Sudah banyak kali buat aduan dengan pihak TikTok tapi semuanya berakhir dengan kehampaaan,” katanya.
Aleeya sebelum ini juga pernah memperlahankan aktiviti siaran langsung di media sosial kerana bimbang dengan penyakit ain.
“Sebab itu juga juga saya guna khidmat hos siaran langsung. Kita tak pernah tahu apa yang ada dalam hati orang yang mungkin iri dan cemburu. Jadi saya ambil langkah berjaga-jaga untuk tidak terlalu menonjol.
“Cuma kebelakangan ini saya mula rasa senangat balik nak aktif di media sosial termasuklah buat vlog untuk dimuat naik di TikTok dan platform media sosial lain.
“Macam baru-baru ini saya ada buat vlog semasa bercuti di benua Antartika selama tiga minggu bersama suami.
“Percutian mewah itu pun mencuri perhatian netizen apabila ada yang menyamakan kos ke sana macam pakej VIP menunaikan haji. Macam – macam lagilah telahan netizen, tapi saya sudah imune,” katanya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

Akaun Digodam, Wang Lesap & Cabaran Media Sosial


