Meraikan kehangatan musim Pilihan Raya Ke-15 (PRU15), komposer DJ Fuzz dan penyanyi rap terkenal, Waris bersatu menghasilkan sebuah lagu berjudul Ini Negara Kita, Keluarga Kita.

Meneliti bait-bait lirik lagu berkenaan, DJ Fuzz yang juga anak kepada penyampai berita RTM, Farith Ismeth Amir berkata, lagu itu lebih kepada ilham menyemarakkan rasa patriotik di kalangan pemimpin dan rakyat khusunya kepada Keluarga Malaysia.

Ia sekali gus menepis lagu berkenaan dicipta untuk tampuk pimpinan yang ketika ini masih diketuai Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (DSIS).

“Lagu saya bikin dengan Waris bukan idea sesiapa atau pun mengambil cetusan untuk melobi, membodek atau mengampu pucuk pimpinan negara.

“Kalau ada yang kata lagu ini idea DSIS atau sesiapa sekalipun, mereka mungkin boleh ‘claim’.

“Tetapi apa yang lebih utama hayatilah intipati dan isi kandungan lagu ini. Lagu ini dicipta bukan untuk mana-mana parti politik. Lagu ini saya bikin untuk aspirasi Keluarga Malaysia.

Penyanyi lagu ‘jingle’ atau nada pesona itu berkata lagu berkenaan juga menjadi kerjasamanya yang lebih 100 kali dengan Waris.

Ads

Bagaimanapun kata DJ Fuzz, ini kali pertama dia dan Waris berkolaborasi menghasilkan lagu patriotik.

“Sebenarnya saya sudah hilang perkiraaan berapa kali sudah bekerjasama dengan Waris. Rasa-rasanya lebih 100  kali.

“Kami mula bekerjasama sejak tahun 2012. Harus saya akui Waris sangat kreatif dan berbakat besar. Saya senang bekerjasama dengannya,” kata pemilik nama penuh, Farzwa De Attahar Emir itu lagi.

Dalam pada itu, DJ Fuzz menjelaskan lagu berkenaan adalah bergenre pop.

Ads

“Lagu bersifat universal. Begitu juga dengan lagu ini. Ia sebenarnya lebih condong kepada motivasi yang boleh menyemarakkan semangat pendengar mahupun rakyat.

“Dalam kesibukan kita ‘bergaduh’ dek pilihan raya, saya cuma mahu ingatkan bahawa kita semua sebenarnya berada di dalam satu keluarga besar.

“Pada hemat saya, Keluarga Malaysia bukan sekadar satu gagasan Kerajaan, tetapi ia adalah satu gaya hidup. Keluarga Malaysia sudah melepasi batas sempadan ideologi politik. Ia bukan hak milik mana-mana parti politik,” katanya.

DJ Fuzz, sambil memberi contoh menjelaskan, semasa Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sembilan, DSIS hadir bersama Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun walaupun mereka daripada parti yang berbeza.

Ads

“Semangat ini yang saya ingin ingatkan kepada semua.

“Sekarang kita berbalah disebabkan perbezaan fahaman politik. Namun hakikatnya, kita semua berteduh dan mencari rezeki di bawah satu bumbung, Malaysia.

“Jangan lupa perkara itu. Semangat Keluarga Malaysia yang membawa kita keluar daripada kemelut kesihatan, ekonomi dan politik. Saya harap lagu ini disambut baik oleh semua. ‘Toksah gado-gado. Berkolai yo kojo ei. Selamat mengundi!’,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI