
Pengacara Datuk Aznil Nawawi memberikan pandangan susulan kritikan yang diterima terhadap gandingan pengacara program realiti, Kilauan Emas Selebriti (KES), Sabtu lalu.
Menurut Aznil atau mesra disapa Pak Nil, keserasian antara pengacara bukanlah sesuatu yang boleh dibentuk dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan masa dan ruang untuk berkembang secara semula jadi.
“Apa yang kita perlukan adalah kerjasama dan ‘chemistry’. Keserasian itu tidak boleh dibina dalam satu hari.
“Saya sendiri tidak sempat untuk menonton program tersebut tetapi saya ada mendengar pelbagai reaksi dari orang ramai,” katanya kepada MH.
Pak Nil berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan kumpulan baharunya, K4LAM, yang berlangsung di The Aurum Theatre, The Gardens Mall, Kuala Lumpur pada Rabu.
Mengulas lanjut, Pak Nil berkata usaha melahirkan barisan pengacara baharu wajar diberi peluang untuk berkembang.
Malah, beliau menyifatkan rakan hos, Kak Engku sebagai seorang pengacara berpengalaman yang sentiasa bersedia untuk membimbing.
“Kita mahu mewujudkan pengacara baharu dan perlu beri ruang untuk mereka beraksi.
“Kak Engku sendiri pernah menyatakan yang dia sedia untuk mengajar, namun harus diingat setiap individu mempunyai cara pengajaran yang berbeza.
“Setiap guru mempunyai caranya tersendiri. Mungkin itu cara dia, kita tidak tahu,” ujarnya lagi.
Pengacara rancangan Talk To My Manager itu turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Kak Engku yang disifatkannya gemar mencetuskan elemen kejutan ketika berada di atas pentas.
“Saya pun pernah bekerjasama dengannya dan kami memang perlukan elemen kejutan di atas pentas.
“Kadang-kadang walaupun ada skrip, Kak Engku suka memberikan kejutan secara spontan.
“Di situlah bagi saya pentingnya keserasian, kita perlu tahu bagaimana cara untuk ‘menyambut’.
“Apabila seorang kedepan, kita tahu bagaimana untuk kejar. Bila sudah kedepan kita tahu bila untuk nak berhenti perlahan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Pak Nil menasihatkan orang ramai supaya memberikan ruang kepada gandingan pengacara tersebut untuk terus memperbaiki persembahan mereka.
Menurutnya, situasi ini juga merupakan peluang terbaik untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam dunia pengacaraan.
“Nasihat saya, berilah ruang. Apabila keserasian itu terbina, bukankah kita akan dapat satu ‘udara’ baharu dalam bidang pengacaraan?
“Bukankah ini yang kita mahukan? Bagi ruang untuk mereka mewarnakan pentas.
“Inilah masanya untuk melahirkan bakat baharu seperti Daniel Cheang, Keanu Azman dan Azeva untuk generasi alaf baharu,” katanya.
Dalam masa sama, pengasas kumpulan penyanyi K4LAM itu menegaskan, adalah tidak adil untuk orang ramai membuat andaian serta melontarkan kritikan tanpa mengetahui situasi sebenar yang berlaku.
“Tidak adil untuk kita membuat andaian sendiri. Percayalah, satu hari nanti apabila gandingan ini berjaya, kita akan ingat semula apa yang pernah dikritik pada episod pertama.
“Mereka kena berterima kasih sebenarnya. Apa yang dikritik itu akan menjadi motivasi untuk mereka bekerja dengan lebih baik.
“Kita tidak akan menjadi lebih bagus tanpa komen atau kritikan, akhirnya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.