Chacha Maembong Berlakon Dengan Bintang Bollywood?

Sejak kebelakangan ini, jarang sungguh melihat kelibat pelakon, Chacha Maembong di acara hiburan mahupun membaca kisah terbarunya di dada akhbar. Kalau ada pun hanyalah kemunculannya dalam drama-drama di kaca televisyen. Namun Chacha sebenarnya diam-diam ubi berisi.

Masakan tidak, biarpun tidak banyak mendapat publisiti, Chacha atau nama sebenarnya Siti Aishah Ismail, sudah berpeluang melebarkan sayap lakonannya dan berpeluang berlakon dengan pemain besar Bollywood.

Jelas adik kepada Emma Maembong, dia dilamar oleh White Merpati Entertainment untuk membintangi filem terbaru terbitan syarikat itu, I’m Not A Terrorist.

Filem yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 Oktober depan, menyaksikan Chacha bergandingan dengan aktor Afiq Muiz dan pelakon hebat Bollywood seperti Gulshan Grover, Farida Jalal dan Rahul Dev.

IKLAN

Bahkan filem ini juga dijangka akan ditayangkan di negara luar lain antaranya India.

“Walaupun saya tak popular tapi ada yang nampak bakat lakonan saya. Sebenarnya penglibatan saya bermula dengan sesi uji bakat seperti pelakon lain.

“Tidak lama selepas uji bakat, penerbit, Baldev Singh memanggil saya semula ke pejabat dan beritahu saya terpilih.

“Kemudian, bila saya dapat tahu filem ini akan ditayangkan di India juga, saya harap ini permulaan untuk saya melebarkan nama di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Berkongsi pengalamannya yang berpeluang berlakon dengan bintang berpengalaman Gulshan dan Farida, Chacha berkata, ia ibarat impian yang menjadi kenyataan.

“Siapa yang tak kenal dengan dua pelakon ini, macam Farida, saya dah lihat dia berlakon filem Kuch Kuch Hota Hai lagi.

“Mula-mula saya agak gementar juga nak berlakon bersama mereka. Tapi kedua-duanya sangat mesra dan banyak membantu saya dalam menguatkan lagi karakter dan juga berkongsi tip-tip untuk memantapkan lakonan.

“Malah Farida boleh dikira sebagai ibu sementara saya sepanjang berada di Kashmir,” katanya.
Tidak hanya melalui saat manis sahaja di sana, Chacha berkata, dia melalui cabaran getir sepanjang berada di lokasi penggambaran di Kashmir, India, tahun lalu.

“Lokasi penggambaran kami adalah lokasi berbahaya kerana ia tempat pengganas dan selalu berlaku perang.

“Pernah suatu hari ketika sedang penggambaran, berlaku tembak menembak berhampiran tempat kami dan polis pengiring menasihatkan kami untuk menghentikan penggambaran dan kembali ke hotel.

“Bukan itu sahaja, mata saya alami kecederaan akibat terkena sejenis daun semasa penggambaran sehingga menyebabkan berlaku jangkitan dan membuatkan saya tidak boleh melihat cahaya selama dua hari.

“Kecederaan itu membuatkan saya dan pihak produksi terpaksa menempuh perjalanan 200 kilometer untuk ke hospital kerana di tempat penggambaran tidak ada proper hospital atau klinik.

“Selain itu, cuaca sejuk dan bersalji juga sangat menguji saya kerana saya harus berpakaian seperti penduduk di sana dan baju itu tidak terlalu tebal buat saya. Ada kalanya saya rasa gigil ketika melontarkan dialog,” jelasnya.

Chacha berkata, biarpun terpaksa melalui cabaran getir, namun dia berasa puas kerana dapat mencuba sesuatu yang berbeza.

IKLAN

“Alhamdulillah berkata doa terutamanya keluarga, saya dapat lalui cabaran tersebut.

“Namun secara peribadi, bagi saya kita hidup hanya sekali dan kita perlu melalui pengalaman seperti ini,” katanya.

Leslie buat Chacha bahagia

Dalam pada itu, kehadiran Chacha bersama seorang jejaka berketurunan Cina pada sidang media filem tersebut baru-baru ini, menarik perhatian ramai.

Tidak berselindung akan hubungannya, Chacha berkata, dia dan teman lelakinya yang dikenali sebagai Leslie sudah bersama sejak setahun lalu.

“Saya kenal Leslie menerusi kakak angkat saya tahun lalu.

“Apa yang boleh saya katakan saya bahagia bersama dengan dia dan Insya-ALLAH kalau ada jodoh, kami memang merancang untuk berkahwin.

“Kedua-dua belah keluarga juga sudah tahu hubungan kami dan Leslie juga sudah bersedia memeluk Islam.

“Tapi perkahwinan itu bukan berlangsung dalam masa terdekat kerana kalau boleh saya tak mahu langkah bendul dan mahu Emma kahwin terlebih dahulu,” jelasnya.