
Pelakon terkenal Hong Kong, Cecilia Cheung, gagal menahan emosi sehingga menitiskan air mata ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Hong Kong berhubung saman sivil bernilai kira-kira RM6.7 juta, yang didakwanya sebagai tidak adil terhadap dirinya.
Ketika disoal balas oleh peguam plaintif pada prosiding yang berlangsung, Cecilia, 45, dilaporkan kelihatan tertekan dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak dapat tidur selama dua hari akibat tekanan kes berkenaan.
Saman itu difailkan oleh bekas syarikat pengurusannya, Asia Entertainment Group, bersama bekas pengurusnya, Yu Yuk-hing, yang mendakwa Cecilia telah melanggar kontrak selepas menerima bayaran pendahuluan bagi beberapa projek filem yang tidak dijalankan.
Menurut plaintif, pelakon filem The Promise itu didakwa menerima bayaran pendahuluan berjumlah kira-kira HK$41.76 juta (sekitar RM22 juta) namun gagal memenuhi keperluan kontrak untuk berlakon dalam enam filem.
Ekoran pelanggaran kontrak seperti didakwa, plaintif menuntut pampasan kerugian dan ganti rugi berjumlah HK$12.76 juta, bersamaan kira-kira RM6.7 juta.
Bagaimanapun, Cecilia dalam keterangannya menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan beliau tidak mengendalikan secara langsung urusan kontrak, sebaliknya ia diuruskan oleh pembantunya ketika itu.
Malah, pelakon tersebut turut mempertikaikan beberapa dokumen yang dikemukakan di mahkamah, termasuk mempersoalkan kesahihan tandatangannya pada sebahagian kontrak yang dijadikan bukti oleh pihak plaintif.
Sepanjang prosiding, Cecilia beberapa kali dilihat bergelut untuk mengingati butiran kontrak lama, sehingga hakim menegurnya agar menjawab soalan dengan ringkas sama ada bersetuju atau tidak bersetuju.
Mahkamah dijangka menyambung pendengaran kes saman yang difailkan sejak 2020 itu dalam tempoh terdekat bagi mendengar keterangan lanjut daripada kedua-dua pihak.
Imbas kembali, Cecelia memulakan kerjayanya pada tahun 1998 dan menjadi antara bintang Hong Kong yang berjaya mengecap populariti di peringkat antarabangsa.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




