Berita

Bukan Sekadar Tunggu ‘Job’ Datang, Diana Danielle Dedah Rahsia Kekal Relevan & Hubungan Ikhlas Mampu Buka Peluang Besar

Share

Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle, baru-baru ini berkongsi pandangannya mengenai cara untuk terus kekal relevan dalam industri kreatif, khususnya buat mereka yang bergelar freelancer.

Menerusi satu hantaran di Threads, Diana mengakui peluang pekerjaan dalam industri tersebut sememangnya tidak menentu, sekali gus menyebabkan ramai berdepan kesukaran untuk memperoleh tawaran baharu.

Menurut pelakon Imaginur itu, setiap rezeki akan hadir pada waktu yang tepat. Selain hadir bekerja tepat pada masanya, menjalankan tugas sebaik mungkin dan menjadi individu yang mudah bekerjasama, semua itu merupakan antara perkara penting yang perlu diamalkan.

Bagaimanapun, jelas Diana, usaha tersebut sahaja masih belum mencukupi untuk memastikan seseorang terus menjadi pilihan.

“Satu perkara yang sentiasa berkesan untuk saya ialah sentiasa melibatkan diri, bukan sekadar hadir di tempat kerja.

“Sudah tentu, apabila mendapat tugasan, kita datang tepat pada waktunya, menjalankan kerja dengan sebaik mungkin, dan berusaha menjadi seseorang yang mudah bekerjasama. Tetapi kadangkala itu sahaja masih belum mencukupi,” tulisnya.

Menurut Diana lagi, individu perlu sentiasa aktif dalam industri meskipun ketika tidak mempunyai sebarang komitmen kerja.

“Apa yang benar-benar memberi perbezaan kepada saya ialah terus aktif dalam industri walaupun di luar waktu bekerja.

“Saya menghadiri pelbagai acara, menyokong projek orang lain, hadir majlis pelancaran, dan meluangkan masa untuk bertemu dengan kenalan yang sudah lama tidak berjumpa.

“Bukan kerana saya sedang mencari kerja, tetapi kerana kekal berhubung adalah sebahagian daripada kerjaya ini,” tambahnya lagi.

Layan Semua Orang Sama Rata, Hubungan Ikhlas Buka Rezeki

Dalam pada itu, Diana turut berkongsi prinsip yang sentiasa dipegang sepanjang bergelar anak seni, iaitu melayan setiap individu dengan layanan yang sama tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mereka.

“Saya tidak pernah menganggap seseorang itu terlalu tidak penting atau sesuatu itu tidak berbaloi untuk diberikan perhatian,” kongsinya.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, setiap orang mempunyai kisah, rangkaian kenalan dan perjalanan hidup yang tersendiri.

Justeru, hubungan yang dibina dengan penuh keikhlasan adakalanya mampu membuka pintu kepada peluang yang tidak pernah disangka.

Dalam masa sama, Diana mengakui beberapa peluang terbesar yang pernah diterimanya sepanjang bergelar anak seni hadir daripada individu serta situasi yang langsung tidak pernah berada dalam jangkaannya.

Mengakhiri perkongsian tersebut, Diana berharap mesej yang disampaikan dapat memberi inspirasi kepada mereka yang sedang berusaha membina nama dalam industri hiburan dan kreatif.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Sumber & Kredit Foto: Threads & Instagram Diana Danielle

Published by
Nurdini Rosliza