Pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Marshanda, tampil berkongsi pandangan berhubung isu spiritualiti yang menurutnya sering disalah tafsir serta dikaitkan secara langsung dengan tahap keimanan seseorang.
Perkongsian itu dibuat menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial miliknya, susulan persoalan yang diajukan berhubung tindakannya menjalani ritual ‘melukat’ yang sinonim dengan ajaran Hindu.
Bagaimanapun, Marshanda enggan menjawab secara khusus berkenaan agama yang dianutinya, sebaliknya memilih untuk memperjelaskan pandangannya mengenai penilaian masyarakat terhadap spiritualitas dan amalan keagamaan.
“Saya mahu bercakap tentang spiritualiti kerana ia juga roh kepada keberagamaan. Saya lihat ramai yang beranggapan, mereka yang rajin melakukan ritual agama itu pasti orang yang dianggap beragama baik atau spiritual.
“Tetapi itu belum tentu. Jika kita melakukannya hanya sekadar gerakan tanpa niat, tanpa kesungguhan, maka ia tiada nilai,” katanya.
Marshanda turut menegaskan bahawa tahap spiritualiti seseorang lebih terserlah melalui amalan dan sikap harian, bukannya semata-mata pada ibadah atau ritual.
“Tabiat harian kita juga penting. Orang yang kurang spiritual itu kadang-kadang ialah kita sendiri. Kita yang kerap merungut, tidak percaya bahawa perancangan Allah itu terbaik. Kita asyik berasa malang, nasib tak baik dan sebagainya. Itu tanda kita meragui kebaikan Tuhan.
BACA JUGA: Dilaporkan Hilang Di Los Angeles, Adik Marshanda Perjelas Keadaan Sebenar Kakak
BACA JUGA: “Saya Selesa Sahaja Berbadan Gemuk,” – Turun 20kg Demi Watak, Marshanda Positif Soal Bentuk Badan
“Bagaimana kita mahu melaksanakan ritual yang memuliakan Tuhan jika kita sendiri tidak yakin bahawa Tuhan memberi yang terbaik? Spiritualiti adalah sejauh mana kita positif terhadap Allah dan sejauh mana kita menerima hidup ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik sikap segelintir individu yang suka memaksakan kepercayaan kepada orang lain atas nama agama dan spiritual.
“Orang yang benar-benar spiritual tidak mempunyai keperluan untuk memujuk, mengajak apatah lagi memaksa orang lain sama ada secara halus mahupun terang-terangan untuk ikut cara hidup atau keyakinan mereka.
“Mereka sedar bahawa perbezaan adalah sesuatu yang normal. Jika kita ingin memberi pengaruh kepada orang lain, lakukan dengan menjadi contoh melalui perbuatan,” katanya lagi
Tambah Marshanda, sikap tidak mampu menerima perbezaan hanya akan mengundang perpecahan dan pergaduhan.
“Jika seseorang itu sudah bersedia untuk berada dalam frekuensi yang sama dengan kita, maka mereka akan datang sendiri. Jika tidak, itu urusan Tuhan, bukan kita. Ini ada kaitan dengan kedamaian dunia.
“Jika kita menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk berperang, sama ada perbezaan agama, budaya, gaya hidup dan lain-lain dan mula rasa diri lebih betul, lebih baik, lebih maju serta tidak menghormati proses orang lain yang berbeza, maka itulah yang mencetuskan peperangan. Itu bukan spiritualiti. Itu tanda kita belum kenal Tuhan,” katanya tegas mengakhiri video.
Sekadar info, ritual melukat ialah ritual penyucian diri dalam budaya Hindu Bali yang bertujuan membersihkan jasmani, rohani dan emosi daripada unsur negatif.
Ia dilakukan di mata air suci seperti Tirta Empul, diiringi doa dan siraman air suci sebagai simbol pembersihan batin. Amalan ini kini turut menarik minat pelancong yang mencari ketenangan spiritual, namun tetap menuntut penghormatan terhadap adat setempat.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI