
Peserta Big Stage Rocketfuel, Yad-Z tampil membuat permohonan maaf susulan kenyataannya yang didakwa berbaur sombong dan berniat berlagak.
Menurut Yad-Z, kenyataan yang diberikan sewaktu program Buzz Big Stage mengenai penyertaan penyanyi, Hussain sebagai peserta ke-11 Big Stage Rocketfuel telah disalahertikan sehingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan warganet.
Katanya lagi, dia tidak berniat untuk merendahkan kemampuan Hussain sebaliknya, dia percaya dirinya juga mampu bersaingan secara sihat dengan peserta-peserta lain.
“Saya nak minta maaf atas apa yang berlaku semalam. Kalau apa yang saya cakap buat ramai terasa hati atau disalahertikan, saya benar-benar minta maaf.
“Sebenarnya bukan niat saya untuk belagak, ego atau rasa diri lebih hebat daripada orang lain.
“Apa yang saya maksudkan cuma saya percaya pada bakat yang Allah bagi dan saya yakin dengan diri sendiri. Itu saja,” tulisnya.
Perkara itu dikongsikan oleh Yad-Z menerusi hantaran di aplikasi Threads.
Dalam masa sama, Yad-Z turut memaklumkan hubungannya bersama Hussain sangat baik dan dia juga mengagumi bakat yang dimiliki pemenang tempat kedua Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2) itu.
“Saya juga nak jelaskan yang saya dan Hussain tak ada sebarang masalah. Kami okey dan saling menghormati antara satu sama lain,” kongsinya lagi.
Jelas Yad-Z lagi, dia menerima setiap teguran dengan hati yang terbuka akan perbaiki lagi segala kelemahannya selepas ini.
“Terima kasih atas semua komen, teguran dan pandangan yang diberikan. Saya terima semuanya dengan hati terbuka dan akan jadikan ia sebagai pengajaran untuk saya terus memperbaiki diri.
“Terima kasih juga kepada semua yang sentiasa menyokong saya. Insya-Allah saya akan buat yang lebih baik selepas ini,” akhirinya.
Terdahulu, kenyataan Yad-Z berkenaan Hussain telah mendapat kritikan hebat netizen di media sosial.
Ramai yang menasihati Yad-Z untuk lebih peka dan berhati-hati apabila memberikan kenyataan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Threads Yad-Z