“Bukan Kepada Saudara Sajjad Saja, Tetapi Kepada Semua…,” – Dr Zulkifli Tegaskan Ia Bukan Suatu Yang Boleh Dibuat Gurauan

Share

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menggulas mengenai isu video kontroversi melibatkan usahawan kosmetik sensasi, Muhammad Sajjad, yang diperkatakan ramai baru-baru ini.

Menerusi laporan Berita AlHijrah, Dr Zulkifli antara lain meminta umat Islam tidak bergurau atau mempersenda kata-kata keluar dari Agama Islam.

“Bukan kepada saudara Sajjad saja, tetapi kepada semualah. Supaya kalimah keluar Islam atau murtad, bukanlah satu kalimah yang boleh dibuat gurauan, tetapi kita hendaklah merasakan ia mulia apabila kita memeluk Islam menerusi syahadah yang dilafazkan, ikrar yang kita janjikan.

“Perkara ini sepatutnya kita pandang serius kerana ia merupakan tunjang kepada Agama Islam ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyerahkan perkara ini kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memandangkan kes membabitkan usahawan tersebut masih di dalam siasatan jabatan berkenaan sebelum apa-apa tindakan susulan dibuat.

Terdahulu, video tular yang merakamkan penyanyi lagu Makhluk Penggoda itu yang seolah-olah berhasrat mahu keluar Islam mulai meraih perhatian wargamaya sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan mengenai rtarikh sebenar video tersebut dimuat naik.

Sehingga kini, sedutan video tersebut yang turut dikongsikan di akaun Instagram Dr Zulkifli sudah pun menerima lebih 30,000 tontan bersama reaksi pelbagai yang ditinggalkan pengguna media sosial.

Sumber: Berita AlHijrah

IKLAN