“Bot Taklah Besar, Cukup Tampung 18 Nelayan,”- Syarif & Melati Beli Bot RM120,000 Bantu Remaja Kampung, Shahrol Shiro Kagum

Share

Anggota kumpulan lawak, Tiro, Syarif memaklumkan dia bersama abangnya, Syaiful atau lebih mesra dengan panggilan Melati kini sedang giat menguruskan proses pembelian bot nelayan untuk disumbangkan bagi kegunaan orang kampungnya di Kampung Pantai Bahagia, Kudat, Sabah.

Memetik laporan BH Online, Syarif memaklumkan abangnya itu tidak dapat hadir ke majlis makan malam dan beramah mesra bersama kumpulan Tiro kerana ingin menyelesaikan beberapa perkara di Kudat.

Katanya lagi, dia dan abangnya itu mahu mengotakan janji mereka selepas kumpulan Tiro dinobatkan sebagai juara program, Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021), baru-baru ini.

“Jika ikutkan, Melati mahu turut serta menghadiri majlis ini. Namun, keadaannya tidak mengizinkan kerana masih berada di Kudat.

“Melati perlu berada di Kudat bagi menguruskan pembelian bot nelayan. Kami tinggal di perkampungan nelayan, jadi, bot ini untuk kegunaan penduduk kampung terutama golongan remaja pergi ke laut untuk menangkap ikan.

“Di kampung ada ramai golongan remaja yang tiada pekerjaan. Jadi, Melati berharap inisiatif ini dapat membantu remaja mencari rezeki,” katanya seperti yang dipetik.

Katanya lagi, tujuan utama dia dan Melati membeli bot tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif membantu golongan remaja di kampung mereka untuk meraih sumber pendapatan sebagai nelayan.

Berkongsi lanjut, Sharif atau nama sebenarnya, Sharif Kadir Doli Sharif, 31, memberitahu bot nelayan berharga RM120,000 itu boleh memuatkan 18 nelayan dalam satu masa.

“Bot ini tidaklah besar sangat, tetapi, cukup menampung 18 nelayan. Kami beri mereka guna bot ini dan hasil tangkapan dibahagi sama rata,” kongsinya lagi.

Usaha murni yang ditunjukkan oleh Syarif dan Syaiful itu turut mendapat pujian daripada rakan selebriti yang juga merupakan pelawak, Sharol Shiro.

Menurut Sharol, Syarif, Syaiful dan seorang lagi adiknya, Atu Zero sememangnya merupakan antara selebriti yang suka berbakti dan tidak pernah sesekali melupakan asal-usul mereka.

“Dia memang pelawak tetapi tanggungjawabnya kepada masyarakat di kampungnya bukan sesuatu yang lawak. Tidak perlu banyak cakap dan menabur janji tetapi pelaksanaan yang diutamakan.

“Syabas buat sahabat saya @syaiful_zero dan juga @sharif_zero serta @akueatu . Sejauh mana melangkah, sebesar mana kejayaan jangan dilupa asal usul,” ujarnya.

Sementara itu, Syarif turut menafikan khabar angin kumpulan Zero yang dianggotai oleh Syaiful dan Atu kini telah berpecah walaupun dirinya dan Melati semakin selesa bersama Tiro.

Dalam perkembangan lain, Syarif memaklumkan Tiro bakal tampil menerusi program sitkom terbaru tidak lama lagi.

Selain Tiro, sitkom tersebut turut difahamkan akan menghimpun rakan-rakan pelawak tanah air.

Sebagai juara, Tiro menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM500,000.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber: BH Online & Instagram Shahrol Shiro

IKLAN