
Pengarah, Dr. Ahmad Idham menafikan adegan di tub mandi yang dilakonkan pelakon Sophia Albarakbah dalam filem seram terbaharu, Tembuni Berdarah sengaja dibuat sebagai pelaris demi menarik perhatian penonton ke pawagam.
Menurut Ahmad Idham, babak tersebut adalah sebahagian daripada jalan cerita yang bertujuan menambah elemen seram.

“Saya buat babak di tub mandi itu untuk menunjukkan kesan khas daripada dalam air. Pada awalnya, saya rancang untuk buat di kolam renang tapi bila difikirkan semula, macam pula nak buat kesan darah dan buih-buih itu.
“Saya tanya kepada Sophia, dia berani ke? Dia kata okay sahaja. Kalau betul saya buat babak itu untuk tarik penonton, saya dah letak potongan itu dalam trailer,” katanya kepada MH.
Ahmad Idham berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana Tembuni Berdarah, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau akui terkilan apabila usaha menaikkan standard filem tempatan sering kali berdepan halangan daripada segelintir pihak.
“Pada saya, babak itu tidak berlebihan. Lagipun, Sophia mengenakan bodysuit. Tak kisahlah siapa nak kecam pun. Yang penting penonton masuk panggung.
“Sebagai pengkarya, bila kita berusaha untuk ke satu tahap yang baharu, akan ada orang yang tarik semula kita ke bawah. Bila masa kita nak maju?
“Semua orang nak kita maju ke hadapan. Bila kita bawa sesuatu di luar norma, kita ditarik semula. Jadi, bila nak naiknya?” ujarnya.
Kritikan & Harapan Pengkarya
Ahmad Idham turut meluahkan kebingungannya dengan sikap sesetengah penonton yang mahu peningkatan karya tempatan, tetapi pada masa sama enggan menerima perubahan.

“Dalam dunia perfileman ini, ada banyak perkara yang boleh kita teroka lagi. Namun, kalau kita asyik fikirkan apa kata netizen, kita akan selamanya berada di takuk yang lama.
“Bila kita buat karya yang di bawah par, nanti orang persoalkan adakah kemampuan kita setakat itu sahaja? Ada kalanya saya jadi bingung.
“Bila kita buat sesuatu yang lain, mereka tetap persoalkan perlu ke babak seperti ini? Hal ini biasa sangat berlaku kepada pengkarya seperti kami,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau tetap menerima kritikan dengan hati terbuka.

“Bukan nak kata saya tak peduli apa kata netizen. Komen yang positif, saya akan tetap terima. Yang negatif pula, saya akan menilai dahulu.
“Saya kena nilai sama ada komen negatif itu datang dengan keikhlasan untuk membantu memajukan karya saya atau niat mereka memang nak menjatuhkan orang.
“Manusia ini rambut sama hitam tapi hati lain-lain,” akhirinya.
Filem Tembuni Berdarah bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 25 September ini.
Selain Sophia, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Sharifah Shahora, Riezman Khuzaimi dan Mia Nasir.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




