
Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah berkongsi sebuah video penuh makna yang memaparkan tunangnya yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, meluahkan hasrat untuk berkahwin di hadapan dua cahaya mata mereka, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Menurut Bella, rakaman tersebut akan sentiasa menjadi antara kenangan terindah yang akan dikenang sepanjang hayatnya.
“Video ini dirakam tahun lalu, pada November 2025, ketika satu momen yang sangat bermakna buat keluarga kecil kami.
“Mungkin hanya beberapa minit, tetapi setiap saat di dalamnya menyimpan kenangan yang akan sentiasa saya hargai,” tulisnya.
Bella turut berkongsi, Julai sentiasa istimewa buat dirinya kerana merupakan bulan kelahiran kedua-dua anaknya.
“Bulan Julai akan sentiasa menjadi bulan yang istimewa buat saya kerana inilah bulan saya meraikan dua anugerah terbesar dalam hidup saya, Ayden dan Ara.
“Ayden menyambut ulang tahun ke-9 hari ini, pada 8 Julai, manakala Ara pula genap 6 tahun pada 18 Julai. Melihat kalian membesar adalah perjalanan paling indah dalam hidup saya,” kongsinya lagi.
Sebagai ibu, Bella mengakui dia tidak pernah berhenti mendoakan yang terbaik buat anak-anak agar mereka membesar dalam suasana penuh kasih sayang dan kebahagiaan.
“Saya sentiasa saya doakan agar anak-anak saya membesar dengan penuh kasih sayang, kebaikan dan kebahagiaan di sekeliling mereka.
“Dan hari ini, saya bersyukur dengan setiap insan yang telah membantu menceriakan dunia mereka. Syukur Alhamdulillah,” kongsinya lagi.
Titip Dedikasi Buat Ayden, Ara & Tunang
“Buat Ayden dan Ara, selamat hari lahir. Semoga kalian sentiasa tahu betapa mendalamnya kasih sayang mama terhadap kalian, betapa berharganya kalian, dan betapa besar kebahagiaan yang kalian bawa dalam hidup mama.
“Kalian adalah hati mama, kekuatan mama, dan selamanya milik mama,” kongsinya.
Menerusi perkongsian sama, Bella menzahirkan rasa syukur kepada tunangnya Syed Saddiq, atas keikhlasan serta kasih sayang yang ditunjukkan terhadap anak-anaknya.
“Dan buat tunang saya, terima kasih kerana sentiasa hadir untuk mereka dengan penuh keikhlasan, kesabaran dan kasih sayang.
“Kebahagiaan yang awak bawa dalam hidup mereka adalah sesuatu yang akan sentiasa saya syukuri,” tulisnya lagi.
Imbas kembali, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis pada 28 Mac lalu.
Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Aliff Aziz pada 9 September 2016 sebelum berpisah pada 13 Jun 2024.
Pasangan itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna.