“Bapa Saya Menghembuskan Nafas Terakhir Kira-Kira Jam 7.30 Malam Tadi,” – Pelakon Veteran Zulkifli Zain Meninggal Dunia

Share

Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain meninggal dunia di kediamannya akibat komplikasi pelbagai penyakit kira-kira pukul 7.30 malam, Sabtu pada usia 76 tahun.

Berita sedih itu dimaklumkan anaknya yang juga pelakon, pengarah teater dan pensyarah, Dr Norzizi Zulkifli.

Menurut Norzizi seperti yang dipetik mStar, jenazah bapanya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, pada Ahad sebelum solat zohor.

“Ya… bapa saya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.30 malam tadi. Dia meninggal dunia di rumah akibat komplikasi banyak penyakit.

“InsyaAllah, esok (Ahad) sekitar pukul 9 pagi jenazah akan dibawa ke masjid untuk dimandikan dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana sebelum solat zohor,” katanya seperti yang dipetik.

Sekitar Mac lalu, pelakon filem Permintaan Terakhir dan Tiada Esok Bagimu itu berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Zulkifli dikejarkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang pada 7 Mac lalu.

Untuk rekod, Zulkifli yang juga suami kepada pelakon Datin Normala Omar itu pernah diserang angin ahmar pada 2016.

Bertemu jodoh dengan Normala yang juga pelakon drama Opah sekitar 1975, pasangan bahagia itu dikurniakan lima cahaya mata.

Selain Norzizi, Allahyarham juga mempunyai empat orang cahaya mata lagi iaitu Norzaza, 38, Norzazila, 36, Norzazleen, 33, dan Mohd Noor Zabaiq, 29.

IKLAN