“Balik Jam 4 Pagi, Esoknya Majlis Resepsi,” – Suami Kaka Azraff, Adam Azriff Dedah Persiapan Singkat Majlis Kahwinnya

Share

Penyanyi Kaka Azraff yang sudah pun bergelar isteri kepada usahawan, Adam Azriff beberapa hari lalu tidak menafikan, persiapan singkat yang dilakukan mereka bersempena dengan keraian resepsi pada Sabtu lalu memberi 1001 erti yang begitu bermakna.

Katanya, dia sendiri tidak sangka mampu memberikan yang terbaik buat para tetamu yang hadir, sekali gus bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.

Adam turut berkongsi, sehari sebelum majlis keduanya balik jam 4.00 pagi bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar pada sebelah petangnya.

“Ya, persiapan sangat singkat, sampai tak tidur. Balik jam 4.00 pagi, esoknya majlis resepsi,” katanya kepada MH.

Terdahulu, pasangan sama cantik sama padan ini melangsungkan majlis resepsi bertemakan tradisional di The Property W&S, Sungai Buloh, Selangor.

“Kiranya persiapan buat kami hanya dalam masa sekitar dua bulan, misalnya pergi kursus kahwin dan sebagainya. Sebenarnya nampak macam susah, tapi kami bersyukur kerana rakan-rakan juga banyak membantu,” kata pasangan ini.

Sementara itu, Kaka turut mengakui doa dari rakan-rakan sudah memadai baginya, meski ada yang tidak berpeluang meraikan momennya bergelar raja sehari secara bersama-sama.

“Saya okay saja, tidak mengapa sebab yang paling penting ialah doa mereka. Majlis juga berjalan dengan lancar, kena tepat pada masanya. Bagi saya itu yang lebih penting,” kongsinya jujur.

Terdahulu, mereka selamat diijabkabul pada 14 Disember lalu, dalam majlis pernikahan yang di lakukan secara tertutup di kediaman sebelah keluarga pihak perempuan.

Foto: Instagram Kaka Azraff

 

 

IKLAN