
Pelakon Shukri Yahaya mengakui dirinya agak terkilan dengan sikap segelintir pelakon baharu yang didakwa tidak mahu menerima tawaran drama dan hanya mahu memberikan tumpuan kepada projek di platform over the top (OTT) serta filem.
Menurut Shukri, kenyataan sedemikian disifatkannya sebagai sombong kerana drama merupakan platform penting buat seseorang pelakon mengasah bakat dan mematangkan diri sebelum melangkah ke projek yang lebih besar.
“Saya pernah terdengar kenyataan daripada pelakon-pelakon baharu, ada di antara mereka yang tidak mahu berlakon projek drama.
“Mereka hanya mahu terlibat untuk program OTT atau filem sahaja. Bagi saya, kenyataan itu agak sombong,” katanya kepada MH.
Shukri berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem Chelot, baru-baru ini.
Menurut Shukri, pengalaman yang diperoleh menerusi projek drama banyak membantunya mengasah kemahiran lakonan, khususnya dalam mengawal dan menukar emosi dalam tempoh yang singkat.
“Seperti semua tahu, projek drama punyai banyak kekangan. Konsepnya pun lebih kurang sama sahaja. Input yang boleh saya ambil di dalam drama, kita boleh belajar mengubah emosi dengan cepat.
“Dalam satu hari, kita mungkin ada habiskan 20 babak. Jadi emosinya bertukar-tukar. Dalam filem pula, permainannya lebih menarik.
“Dalam satu hari, hanya ada satu atau dua babak. Jadi, kita boleh fokus betul-betul. Namun, drama inilah yang mematangkan saya untuk terlibat di dalam projek yang lebih besar,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Shukri memaklumkan dia turut berkongsi nasihat sama dengan rakan pelakon, Nadhir Nasar, yang disifatkannya sebagai seorang pelakon berbakat besar.
“Saya juga ada memberikan nasihat kepada Nadhir, jangan pernah tinggalkan projek drama. Anggap drama ini sebagai platform untuk bereksperimen dengaj watak.
“Apa yang kita asah di dalam drama, kita boleh implementasi di dalam projek filem dan skrip yang lebih besar.
“Dia seorang adik yang sangat mendengar kata. Saya anggap dia seperti adik sendiri. Hubungan kami sangat rapat,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Chelot bakal ditayangkan di pawagam bermula 27 Ogos ini.
Selain Shukri, filem tersebut turut dibintangi barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Beto Kusyairy, Nadhir Nasar dan Alicia Amin.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.