Pengacara Azwan Ali digugurkan serta merta sebagai pengacara program realiti Mic On musim kedua (Mic On 2) berkuatkuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan program Mic On 2 dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terbabit.

“Pihak pengurusan Awesome TV  hari ini mengambil keputusan untuk menggugurkan Azwan Ali daripada tugas pengacaraan bagi program realiti Mic On berkuatkuasa serta merta.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa pihak Awesome TV tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang hal-hal berkaitan dengan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak sama ada di kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terbabit dengan program-program terbitan kami.

IKLAN

“Pihak Awesome TV juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku atau gangguan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian.

“Tindakan keras akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran integriti prinsip tersebut,” katanya di dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

IKLAN

Program Mic On 2 minggu seterusnya akan dikendalikan oleh pengacara bersama sedia ada, Issey Fazlisham.

MIC ON yang bersiaran setiap hari Jumaat jam 9 malam di  Awesome TV (Astro 123) atau MyTV (112) adalah sebuah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian komedi terbitan Awesome TV yang menampilkan tiga selebriti tanah air, Datuk Awie, Datuk Hattan dan Mas Idayu sebagai juri tetap.

IKLAN

Terdahulu, seramai 15 peserta berjaya diserap masuk untuk bersaing di konsert mingguan Mic On musim kedua bagi merebut gelaran juara.

Kesemua mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro yang menggalas tanggungjawab selaku ‘Manager’ untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada para peserta.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI