
Bintang meningkat naik, Azeva Natassha mendedahkan hatinya mula terdetik untuk serius menceburi bidang seni selepas melalui pengalaman mengejutkan apabila ibunya yang juga penerbit, Dato’ A. Aida, terpaksa ditidurkan akibat masalah kesihatan kritikal.
Menurut Azeva, momen tersebut membuatkan dirinya tersedar bahawa sudah tiba masanya untuk dia merealisasikan impian ibunya yang selama ini mahu melihatnya terjun ke bidang seni.
“Ketika usia saya 19 tahun, mama ajak saya masuk ke studio rakaman. Dia mahu saya mencuba sahaja dahulu tanpa perlu merakamkan lagu.
“Bila sampai ke studio, mama minta saya terus buat rakaman yang sebenar. Jadi, saya menolak. Kali ini, saya sudi untuk merakamkan lagu ini selepas keluarga ditimpa ujian.
“Seperti semua tahu, ibu saya pernah masuk ke ICU, koma tiga hari dan dimasukkan ke hospital selama dua bulan. Malah, doktor juga sudah minta kami sekeluarga bersedia.
“Katanya, ketika itu, 99 peratus ibu saya sudah tiada lagi. Waktu itulah terdetik rasa. Selama hidup, apa yang saya buat untuk ibu saya? Saya banyak menghabiskan duitnya sahaja,” katanya kepada MH.
Anak kepada penyanyi Ameng Spring itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Tanpa Rasa Jemu yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Azeva, dia bersyukur apabila doa untuk melihat ibunya kembali sembuh dimakbulkan Allah SWT.
“Ketika itu, saya berdoa kepada Allah untuk kembalikan ibu saya. Jika ibu kembali, saya berjanji akan turuti segala permintaannya. Saya sangat bersyukur bila ibu saya kembali sedar dan sembuh.
“Saya memang sudah rela hati untuk buat apa sahaja yang ibu saya minta. Selagi ibu masih ada, saya tersedar, apabila ibu saya koma, ramai yang lalui pengalaman seperti saya.
“Bila sudah kehilangan seorang ibu, kita akan selamanya menyesal. Bila ibu sedar, ini adalah rezeki yang sangat besar. Segalanya seperti sudah tertulis. Segalanya tidak akan terjadi tanpa mama,” ujarnya lagi.
Baca Artikel Lain;
Mengulas mengenai proses rakaman lagu Tanpa Rasa Jemu, Azeva mengakui ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan dirinya ketika itu masih mentah dan langsung tidak mempunyai pengalaman dalam nyanyian.
“Lagu ini sangat sukar lebih-lebih lagi ketika itu, saya langsung tiada pengalaman menyanyi. Saya baru sahaja nak menjejakkan kaki di dalam dunia seni.
“Jika ada kekurangan, saya harap pendengar boleh menerimanya. Alhamdulillah, saya ada mama, Abang Zul 2By2 dan Eddie Hamid yang memberikan tunjuk ajar.
“Proses rakaman itu agak lama terutamnya bila nada tinggi dan rendah,” akhirinya.
Tanpa Rasa Jemu yang turut diangkat sebagai OST filem debut Azeva, Bisikan Nafsu itu juga
kini boleh didengari di seluruh platform penstriman dan muzik video kini boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music.Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.