Jika Suffian dan Elfira sememangnya mengakui berkawan rapat dan direstui keluarga, lain pula kisahnya dengan pasangan selebriti ini yang mendapat ‘restu’ peminat selepas mereka bergandingan dalam drama Ku Kirim Cinta.

Bagaimanapun tatkala ditanya sejauh mana perhubungan yang terjalin, lidah Redza Rosli kelu membisu, manakala Ayda Jebat memberi jawapan dengan senyuman meleret.

Sesekali mereka memandang mesra dan kadang kala renungan mesra itu bagai memberi satu jawapan, biarpun tidak pasti.

Mengakui agak sukar mendekati si hero kerana sikapnya yang pemalu, Ayda berkata, mereka berjaya memecah kejanggalan beberapa selepas itu.

“Walaupun saya lahir 17 Mac dan dia lahir 18 Mac pada tahun sama dengan zodiak sama, tapi personaliti kami jauh berbeza.

“Saya memang mudah mesra dengan sesiapa, tapi dia sangat pemalu dan memang agak sukar untuk berbual pada awalnya.

“Tapi lama-kelamaan barulah kami ok dan sekali sekala adalah bermesej berbanding awal-awal dulu,” ujar Ayda.

Bagi Redza pula, sikap gila-gila Ayda membuatkan dia berasa lebih ceria bersama dengan gadis itu.

“Dia macam ada jumpa ‘butang’ yang boleh membuka sisi berbeza saya. Secara tidak langsung saya berasa selesa dengannya,” katanya yang juga duta kempen Terima Kasih TV3 dengan Ayda.

 

Biarpun ada yang melihat Redza menumpang populariti Ayda sepanjang bergandingan dengan bintang itu, Redza pantas menafikannya.

“Saya rasa tidak ada istilah menumpang populariti kerana saya bermula dari bawah dan berusaha untuk berada di tahap sekarang.

“Namun tidak dinafikan saya terasa tempias populariti Ayda kerana dia mempunyai peminat yang ramai dan mesti peminat-peminatnya menyokong karier seni serta dramanya.

“Jadi secara tidak langsung mereka juga menyokong karier seni saya,” katanya.

Kenangan Aidilfitri

Tatkala diaju mengenai ceritera raya dan adakah keduanya akan menziarahi keluarga masing-masing, terlepas satu rahsia dari mulut Ayda.

“Dia pernah datang ke rumah dan berjumpa ibu saya. Tapi jangan salah faham ya, dia datang pun kerana kebetulan ada penggambaran.

“Ibu saya kata, Redza ni baik orangnya,” ujar Ayda sambil menjeling manja kepada Redza.

 

Tersipu-sipu mendengar komen jujur dari Ayda, Redza berkata, dia seperti biasa hanya berhari raya di Kota Metropolitan dan mengakui sebenarnya seorang yang suka berjalan jauh.

“Saya tak ada kampung dan biasanya saya sekeluarga akan berhari raya di Subang Jaya.

“Bagaimanapun saya belum merancang lagi untuk ke Melaka. Tapi kalau ada kesempatan dan tidak sibuk apa salahnya. Kita mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat,” jelasnya.

Ditanya apakah kenangan raya paling bermakna dalam hidupnya, Redza berkata, sama seperti kanak-kanak lain, dia juga pernah melalui zaman nakal ketika kecil.

“Setiap kali raya, paling wajib kena ada mercun. Saya memang suka main mercun dan kadang kala baling dalam rumah jiran atau pun letak mercun di dalam ekzos kereta orang bagi mendapatkan bunyi yang lebih kuat.

“Tapi jangan tiru aksi saya ya. Lagipun saya tak buat lagi dah macam tu. Dulu lah, masa kecil,” imbaunya.

Lain pula dengan Ayda yang sebenarnya sudah mengasah bakat nyanyian sejak kecil apabila sering mengadakan ‘pertandingan’ nyanyian bersama sepupu dan rakan sejiran ketika masih kecil.

“Bila diimbau semula memang kelakar kerana kami akan menyanyikan pelbagai lagu. Kadang kala saya jadi jurinya.

“Pastinya semua itu hanya tinggal memori indah untuk dikenang kerana sekarang ini masing-masing dah besar dan ada kehidupan sendiri. Nak jumpa pun susah,” akhirinya.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI