Aura Kasih Timba Ilmu Bersama BCL

Nama Aura Kasih barang kali masih asing di Malaysia. Bagaimanapun di Indonesia, dia sudah 10 tahun bergelar anak seni sejak memenangi Miss Indonesia pada 2007.

Sejak itu, Aura Kasih atau nama sebenarnya Sanny Aura Syahrani mula berjinak di dalam industri seni sebagai penyanyi dan pelakon sinetron.

Ujar aktres berusia 30 tahun ini, kali terakhir dia membintangi filem adalah pada 2009 menerusi Asmara Dua Diana.

IKLAN

“Ketika awal menyertai industri, saya rasa belum cukup layak untuk membintangi filem dan sebab itu saya banyak menerima tawaran berlakon sinetron.

 

“Antara Sinetron yang pernah saya bintangi adalah Dewa sebanyak 200 episod, Pashimina Aisha sebanyak 100 episod.
“Selain itu saya juga sibuk dengan karier nyanyian.

 

“Namun apabila Falcon Pictures menawarkan saya untuk membintangi filem Surat Kecil Untuk Tuhan (SKUT), saya rasa sukar untuk menolak kerana jalan cerita filem ini yang berkualiti dan mengangkat isu kemanusiaan,” katanya ketika ditemui sempena mempromosikan SKUT di Malaysia.

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem arahan Fajar Bustomi ini, Aura Kasih berkata, dia berasa gementar pada awalnya apabila diberitahu akan bergandingan bersama Bunga Citra Lestari (BCL) dan Joe Taslim di dalam filem berkenaan.

“Mereka berdua antara pelakon senior di Indonesia dan tentu sekali itu membuatkan saya rasa gementar sama ada saya mampu atau tidak melakukan yang terbaik apabila bekerja bersama mereka.

 

“Tapi baik BCL mahupun Joe banyak membantu saya dan saya ambil peluang ini untuk belajar dan menimba ilmu dengan mereka, terutamanya BCL kerana saya ada beberapa babak bersamanya.

 

“BCL juga sangat humble, sudi berkongsi pendapat dan tip untuk menjadi pelakon yang baik. Ia pengalaman yang berharga buat saya sepanjang berlakon dalam filem berkenaan,” ujarnya yang membawakan watak sebagai Ningsih.


Aura Kasih berkata, selepas terlibat dengan SKUT, dia kini meletakkan dirinya dalam satu aras baru di mana dia berhasrat untuk membintangi lebih banyak filem selepas ini.

IKLAN

“Bila sudah ada pengalaman, saya rasa lebih yakin untuk membintangi filem dan sudah ada beberapa tawaran yang datang.

 

“Lagipun membintangi sinetron lebih penat kerana penggambaran biasanya ambil masa tiga hingga ke empat bulan bergantung pada jumlah episod.

 

“Jadi saya harap rezeki saya selepas ini lebih kepada industri filem dan nyanyian,” katanya yang baru sahaja muncul dengan single baru berjudul Long Distance yang membawa konsep reggae.

https://www.instagram.com/p/BVBa0Khgiap/?taken-by=aurakasih