Aura Berbisa Anuar & Ziana Zain, Tiket Konsert ‘Licin’ Dalam Masa 3 Hari!

Share

Kesemua tiket konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 habis terjual dalam tempoh tiga hari sahaja!

Bak pisang goreng panas, kesemua tiket berharga RM288, RM588, RM788, RM988 dan RM1,188 laku terjual membuktikan pengaruh dua penyanyi terkenal ini di kalangan peminat setia mereka.

Malah menurut penganjur, Trumpet International Sdn. Bhd., konsert ini juga mencatat sejarah antara konsert artis tempat yang habis terjual dalam tempoh masa singkat.

“Tahniah kepada mereka yang berjaya mendapatkan tiket konsert! Konsert ini mencapai rekod sebagai satu daripada konsert habis terjual oleh penyanyi tempatan dengan jualan tiket terjual sepenuhnya dalam masa tiga sahaja!

“Anuar Zain dan Ziana Zain amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan dengan menjadikan konsert ini sebagai sebuah persembahan ‘full house’. Populariti mereka sebagai penyanyi Malaysia sekali lagi terbukti,” tulis penganjur di laman Instagram rasmi mereka.

Penganjuran konsert kali ini merupakan gabungan pertama Anuar bersama kakaknya dalam konsert berskala besar.

Kali terakhir, pasangan adik-beradik popular ini disatukan dalam sebuah pentas yang sama ketika menjayakan persembahan di Singapura pada 12 tahun lalu.

Menerusi laporan Media Hiburan sebelum ini, Anuar menyifatkan kepercayaan yang diberikan penganjur sebagai satu penghormatan buat mereka berdua.

“Saya bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. Kami mengambil peluang ini untuk bertemu dan menghiburkan peminat yang sekian lama menginginkan persembahan kami berdua.

“Konsert ini bakal menjadi momen kolaborasi indah buat saya dan kakak yang telah sekian lama berada dalam industri seni,” katanya.

Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Ogos ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Anuar Zain, Ziana Zain

IKLAN