Amyra Rosli Tenang Berdepan Ujian Ayra Tak Sihat – “Kalau Lawan Cakap Doktor, Mungkin Dalaman Anak Saya Jadi Lebih Teruk.”

Share

Berhadapan pelbagai dugaan terutamanya melibatkan kesihatan anak keduanya, Ayra Aryssa, pelakon Amyra Rosli bersyukur diberikan ketenangan dalam menghadapi perkara tersebut.

Menurut Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, 31, dia melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif bila mana ramai ibu bapa kini sudah mula mengambil tahu mengenai virus-virus yang sering berlaku terhadap anak kecil.

“Saya reda seikhlas-ikhlas hati dengan apa yang terjadi pada Aryssa… sedih sangat. Kadang-kadang saya balik rumah, kat basement tu saya terduduk, berfikir macam kenapa bertubi-tubi dugaan datang pada saya.

“Tapi Alhamdulillah, Allah bagi saya ketenangan untuk berdepan semua ini. Kejadian ini pun sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa lebih peka tentang virus-virus yang kita mungkin tak tahu sebelum ini,” katanya kepada Media Hiburan.

Berkongsi lebih lanjut tentang perkembangan terkini Aryssa, isteri kepada aktor Amar Baharin itu berkata keadaan Aryssa semakin baik dari hari ke hari.

“Alhamdulillah, Aryssa semakin baik, recovering cuma saya kena monitor jantung dia selama tiga bulan. Dia kena makan ubat cair darah hari-hari.

“Rambut dia jadi gugur, perut dia jadi kembung, saya tak boleh nak buat apa. Kalau saya lawan cakap doktor, mungkin dalaman anak saya jadi makin teruk.

“Virus Kawasaki ni menyebabkan jantung dia berair, saluran bengkak. Aryssa kena bergantung pada ubat sekarang, mudah-mudahan lepas tiga bulan ni dia sihat sepenuhnya,” katanya.

Pada 6 April lalu, Aryssa dikejarkan ke hospital selepas mengalami demam panas sebelum disahkan dijangkiti virus Kawasaki iaitu keradangan saluran darah terutamanya membabitkan kanak-kanak bawah umur lima tahun.

Sekadar info, Amyra mendirikan rumah tangga dengan Amar Baharin pada November 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi, 4, dan Ayra Aryssa, 2 tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Janna Nick

IKLAN