
Finalis pertandingan Miss Universe Malaysia 2026 (MUM2026), Amreet Kaur Santokh Singh berkongsi pengalaman mencemaskan apabila berdepan komplikasi ketika melahirkan cahaya mata sulungnya.
Menurut Amreet, sepanjang tempoh kehamilan, segala-galanya berjalan lancar.
Namun, situasi berubah secara tiba-tiba apabila dia terpaksa menjalani pembedahan caesarean (C-section).
“Sepanjang tempoh saya mengandung, semuanya dalam keadaan baik. Tetapi apabila tiba waktu untuk melahirkan, berlaku komplikasi mengejut.
“Apabila tiba di hospital, saya perlu menjalani pembedahan czer dengan cepat,” katanya kepada MH.
Amreet berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengenalan MUM2026 yang berlangsung di Holiday Inn Bangsar, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu mendedahkan pengalaman tersebut memberi kesan yang cukup mendalam terhadap dirinya.
“Ketika itu saya terbaring dan langsung tidak dapat merasakan apa-apa di bahagian bawah badan.
“Saya mula terfikir, adakah saya sudah melakukan semua perkara yang saya impikan dalam hidup ini?
“Tetapi saya tahu masih banyak yang belum saya capai,” luahnya lagi.
Dalam pada itu, Amreet turut mengakui berdepan cabaran emosi sepanjang tempoh berpantang selepas mengalami postpartum.
“Selepas melalui fasa postpartum, saya rasa seperti tidak mengenali diri sendiri.
“Keyakinan diri saya merudum dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui,” ujarnya.
Bagaimanapun, Amreet berkata, semangatnya kembali bangkit selepas terlihat iklan uji bakat Miss Universe Malaysia, sekali gus menjadi titik permulaan untuk membina semula keyakinan dirinya.
“Satu pagi ketika saya sedang menonton berita, saya terlihat iklan uji bakat Miss Universe.
“Dari situ saya rasa ini peluang untuk mendapatkan semula keyakinan diri.
“Saya mahu melakukan perkara yang saya impikan kerana saya sedar hidup ini singkat. Jadi saya mahu berikan yang terbaik,” jelasnya.
Dalam masa sama, model itu turut menzahirkan penghargaan terhadap suaminya yang sentiasa menjadi tulang belakang dan memberikan sokongan sepanjang perjalanan tersebut.
Malah, suaminya juga merupakan seorang model yang memahami tuntutan kerjaya yang diceburinya.
“Suami saya juga berada dalam bidang yang sama, jadi dia faham keperluan saya dalam bidang ini.
“Dia sangat menyokong impian saya dan sekarang pun, dia membantu menjaga bayi dan kami juga bekerja dalam industri yang sama.
“Sejujurnya, saya tidak akan mampu melakukan semua ini tanpa sokongan daripada suami saya,” akhirinya.
Terdahulu, Amreet yang berasal dari Ipoh, Perak diumumkan sebagai salah seorang finalis pertandingan Miss Universe Malaysia 2026.
Turut bersaing ialah Diana Charles, Saphhire Wong Yin dan Sarah Shawndya yang bakal berentap untuk mewakili Malaysia ke pentas Miss Universe di Puerto Rico yang dijadualkan berlangsung pada November ini.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.